Tertusuk Besi Di Leher & Dada, Budak Lelaki Lima Tahun Parah
Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan berada dalam keadaan parah selepas tertusuk besi di bahagian leher dan dada dalam kejadian di Kampung Tandek, Kota Marudu di Sabah, semalam.
Difahamkan, insiden ngeri itu berlaku ketika mangsa yang berusia lima tahun itu sedang dalam perjalanan ke kedai runcit, lapor Sinar Harian.
Susulan itu, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kota Marudu bagi mendapatkan rawatan segera. Ketika di hospital, pihak bomba telah dipanggil bagi mengeluarkan besi daripada anggota badan kanak-kanak tersebut.
Menurut Ketua Balai Bomba (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat, pihaknya telah menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada jam 6.31 petang.
Beliau berkata, seramai enam anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa di hospital.
Tambah Mohd Hasbi, besi tersebut telah tertusuk pada anggota badan kanak-kanak tersebut ketika mangsa tersadung dan terjatuh.
“Menurut ibu mangsa, ketika kejadian mereka pergi ke kedai runcit namun tersadung dan terjatuh sebelum tertusuk besi.
“Pasukan bomba yang menerima panggilan tersebut segera membantu mangsa yang tertusuk besi di bahagian leher dan dada dengan memotong besi tersebut menggunakan peralatan,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, sebaik sahaja pihak bomba selesai memotong besi yang tertusuk pada badan mangsa, mangsa kemudiaannya diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut.
“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 7.09 malam,” katanya.
Budak Lima Tahun Maut, Leher Dipercayai Tertusuk Besi Ampaian
Terdahulu, seorang kanak-kanak dilapor maut selepas leher dipercayai tertusuk besi ampaian di Gombak pada Januari lepas.
Kejadian melibatkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu berlaku ketika mangsa bermain di kediaman keluarganya di Batu Caves, pada Sabtu (6 Januari 2024).
Mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati mangsa sedang bermain-main dengan besi ampaian yang berada di dalam rumah tersebut semasa kejadian tersebut berlaku.
Ketika bermain di dalam rumah, tiba-tiba mangsa tertusuk besi ampaian pada bahagian leher. Mangsa turut dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke HTA, lapor Sinar Harian.
BACA: Isu Kurma Dari Israel, Syarikat Matahari Mohon Maaf
Sumber: Sinar Harian