Siakap Keli
Google malaysia mohon maaf
Kredit: Bernama

Google Malaysia Mohon Maaf Atas Kesilapan Nilai Tukaran USD-MYR

Google Malaysia Mohon Maaf Atas Kesilapan Nilai Tukaran USD-MYR

Google Malaysia telah membuat permohonan maaf atas kesilapan pertukaran nilai mata wang dolar Amerika Syarikat dan Ringgit Malaysia yang menggemparkan rakyat Malaysia minggu lepas.

Pihaknya berkata sedemikian menerusi balasan ciapan yang dibuat Bank Negara Malaysia (@BNM_official) semalam.

Syarikat teknologi itu juga telah menghubungi pihak ketiga yang terbabit dalam masalah ini untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

Sehubungan itu, Google memaklumkan bahawa masalah berkaitan kadar pertukaran antara kedua-dua matawang ini telahpun selesai.

“Masalah ini telah diselesaikan dan kami memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku,” jelas Google.

Pada masa yang sama, Google menegaskan bahawa pihaknya menyediakan maklumat pertukaran matawang adalah untuk tujuan informasi sahaja.

Bagi sebarang keputusan berkaitan kewangan, Google menasihati orang ramai untuk merujuk sumber rasmi seperti Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sila rujuk sumber rasmi seperti Bank Negara Malaysia untuk membuat sebarang keputusan berkaitan kewangan,” tulis Google.

Kadar pertukaran USD1/RM4.98 adalah tidak tepat

Sebelum ini tular isu berkenaan pertukaran mata wang apabila hasil pengiraan di Google menunjukkan nilai 1USD bersamaan dengan RM4.98.

Perkara terbabit telah menyebabkan kejutan buat penduduk Malaysia yang menggunakan mata wang Ringgit Malaysia.

Susulan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi penjelasan tentang isu kadar pertukaran USD/MYR yang menjadi tular dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di laman web semalam.

Berdasarkan hantaran dari bank pusat itu, kadar pertukaran USD1/RM4.98 yang dipaparkan di platform berkenaan  adalah tidak tepat.

“Maklumat ini tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar,” kata BNM.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihati merujuk kepada data tukaran rasmi, termasuk data yang dibekalkan oleh BNM.

Orang ramai juga dinasihati untuk tidak merujuk, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan.

BACA: Ini Tips Untuk Khatam Al-Quran Di Bulan Ramadan

Sumber: GoogleMsia via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma