Berminggu Sakit Kepala, Rupanya Ada Cacing Pita ‘Bersarang’ Dalam Otak
Cacing pita dilaporkan ditemui di dalam otak seorang lelaki selepas dia mengadu mengalami migrain dan para penyelidik percaya perkara ini berpunca daripada pengambilan bakon yang tidak dimasak dengan sempurna, lapor The Guardian.
Kes ini telah direkodkan dalam satu laporan yang dikeluarkan American Journal of Case Reports pada minggu lepas.
Lelaki warga Amerika Syarikat yang berusia 52 tahun itu dilaporkan telah mengalami rasa sakit kepala selama berminggu-minggu.
Pesakit itu juga difahamkan telah mengambil ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan tetapi ia tidak berkesan. Berdasarkan laporan tersebut, lelaki itu tidak pergi ke mana-mana lokasi yang berisiko malah tinggal bersama isterinya di rumah.
Walau bagaimanapun, pesakit mendedahkan bahawa dirinya suka bakon yang dimasak secara ringkas dan tidak rangup. Dia sangat menyukai makanan tersebut dan memakannya dengan kerap.
Susulan itu, imbasan CT telah dijalankan ke atas lelaki ini dan penyelidik menemui banyak kantung berisi cecair, atau cyst foci dalam otaknya.
Lelaki itu langsung tidak menunjukkan simptom-simptom pertumbuhan tumor pada otaknya, menyebabkan para penyelidik menyangka bahawa ia adalah congenital neuroglial cyst.
Bagaimanapun, persoalan terjawab selepas lelaki berkenaan disahkan positif antibodi cysticercosis cyst.
Kemudian, beliau didiagnos menghidapi neurocysticercosis, jangkitan parasit yang disebabkan oleh sistem larva daripada cacing pita babi Taenia solium.
Para penyelidik membuat andaian bahawa ia berlaku disebabkan oleh sejarah pemakanan lelaki tersebut yang sering memakan bakon kurang masak dengan kerap.
Ekoran itu, pesakit itu telah diberi ubat anti radang dan anti parasit termasuklah dexamethasone, albendazole and praziquantel. Pemantauan dan ubatan yang berterusan membolehkan kesnya itu berjaya dirawat.
Untuk makluman, neurocysticercosis akan menjangkiti seseorang yang telah memakan telur-telur cacing pita yang bersaiz kecil.
Sebaik sahaja telur masuk ke dalam badan, ia akan menetas dan menjadi larva, yang kadang-kadang berkemungkinan akan bersarang dalam otak dan seterusnya menyebabkan berlakunya neurocysticercosis.
Gejala penyakit tersebut juga mungkin berbeza-beza bergantung kepada bilangan parasit, tindak balas imun dan lokasi luka. Pesakit mungkin akan mengalami epilepsi, sakit kepala dan strok.
BACA: Google Malaysia Mohon Maaf Atas Kesilapan Nilai Tukaran USD-MYR
Sumber: The Guardian