Bukan Buah Biasa, Pensyarah Jelaskan Kebaikan Kurma Yang Ramai Tak Tahu
Setiap kali bulan Ramadan, kita dapat melihat pelbagai jenis kurma dijual di merata-rata tempat daripada jenama yang berbeza. Buahan kering asal Timur Tengah ini dijamah ketika waktu sahur dan berbuka untuk mendapatkan tenaga.
Berdasarkan penulisan Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nur Huda Faujan sebenarnya kurma bukanlah buahan biasa.
“Kurma yang dijamah oleh setiap manusia di seluruh dunia merupakan buah daripada sejenis pokok palma genus Phoenix. Buah ini juga dikenali dengan nama saintifiknya, Phoenix dactylifera Linn.” jelas Dr. Nur Huda.
Untuk pengetahuan pokok kurma merupakan antara tumbuhan tertua yang ditanam oleh manusia.
Buahannya pula telah dianggap sebagai makanan penting sejak dahulu lagi khususnya di negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, dan Mesir.
Menurut Dr Nur Huda, dalam perspektif Islam pula, kurma turut disebut dalam kitab suci al-Quran iaitu sebanyak 20 kali secara keseluruhannya. Buah ini telah disebut secara berasingan sebanyak lapan kali manakala disebut bersama buah-buahan lain seperti delima, anggur dan minyak zaitun sebanyak 12 kali.

“Umum mengetahui bahawa buah kurma boleh dimakan terus dengan membuang bijinya. Namun, dalam industri makanan, buah kurma boleh diproses menjadi pelbagai jenis produk makanan termasuk jem, gula-gula, jus pekat, jeli, jeruk dan sirap.
“Selain itu, kurma juga sangat popular digunakan dalam pembuatan produk roti, biskut dan coklat serta boleh dijadikan inti produk yang boleh diadun bersama kelapa, madu atau cuka.
“Walau bagaimanapun, minyak kurma dan kopi kurma merupakan produk sampingan kurma yang boleh dihasilkan daripada biji kurma,” katanya.
Kurma adalah bahan makanan penting untuk seluruh isi rumah
Seperti yang dinyatakan Dr. Nur Huda, kurma bukanlah buahan biasa dan memiliki kedudukannya tersendiri dalam perspektif Islam.
Hal ini kerana, pesuruh Allah SWT iaitu Nabi Muhammad SAW sangat gemar menjamah buah-buahan ini. Malah, ada hadis yang menjelaskan betapa pentingnya kurma bagi seluruh isi rumah.
Saidina A’ishah RA berkata pada suatu ketika rumah mereka tidak memasak makanan selama dua bulan, tetapi mereka hanya makan kurma dan minum air sehingga pada suatu hari Rasulullah SAW mengatakan pentingnya mempunyai kurma dalam rumah.
Saidina A’ishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”.
(Hadis, Sahih Muslim, 5078).
Mesti ramai merasa hairan kenapa buah ini akan menjadi satu kemestian sewaktu bulan Ramadan. ‘Demam kurma’ ini juga dapat dilihat menerusi rak-rak jualan di pasar raya tempatan serta perkongsian resepi-resepi melibatkan buah ini banyak pada bulan ini.
Sebenarnya, banyak hadis yang menjelaskan bahawa setiap insan yang berpuasa disunnahkan bersahur dan berbuka puasa dengan kurma. Antara hadis yang menyebut mengenai perkara ini adalah:
“Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma.”
(Hadis, Sunan Abu Daud 2338).
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Apabila di antara kalian berpuasa, maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka berbukalah dengan air, sebab air itu suci.”
(Hadis, Imam Abu Daud, Al-Baihaqi dan Al-Hakim).
Seterusnya, Anas bin Malik meriwayatkan bahawa:
“Rasulullah SAW biasa berbuka puasa sebelum sembahyang maghrib dengan ruthob (kurma basah), jika tidak ada ruthob, maka beliau berbuka dengan tamar (kurma kering), dan jika tidak ada tamar, beliau meminum seteguk air.”
(Hadis, Imam Abu Daud, 2356).
Tiga jenis kurma yang anda perlu tahu
Ramai yang tidak tahu sebenarnya buah kurma yang terdapat di pasaran ini boleh dikategorikan kepada tiga jenis. Antaranya adalah khal, ruthob, dan tamar.
Jelas Dr. Nur Huda dalam penulisannya, setiap kategori kurma ini dibezakan melalui peringkat kematangannya.
“Kurma khal merupakan kurma yang segar, masak keras, dan rangup. Kurma ruthob atau kurma basah pula merupakan kurma yang masak separuh yang mana teksturnya antara rangup dan lembut.
“Kurma tamar atau kurma kering ialah kurma yang masak penuh. Manakala kurma mentah pula dikenali sebagai kimri,” jelasnya.
Kebaikan kurma dari sudut saintifik
Tambahnya lagi, kajian saintifik membuktikan sebahagian besar kandungan kurma adalah gula iaitu antara 50 peratus dan 75 peratus.
“Gula ringkas dalam kurma termasuk glukosa, fruktosa, mannosa, maltosa, rhaminosa, dan sukrosa yang mudah digunakan untuk penjanaan tenaga segera dalam tubuh manusia.
“Kandungan gula dalam kurma bergantung kepada jenis kurma dan kematangan, tetapi umumnya lebih tinggi daripada delima dan nenas.
“Oleh itu, penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat antara 30 dan 45 minit berbanding nasi yang memerlukan lebih kurang 4 jam untuk dicernakan. Justeru, berbuka puasa dengan kurma dapat memberi tenaga segera kepada tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan yang bersangatan,” ujarnya.
Kurma dapat mengurangkan risiko penyakit kronik
Selain itu, Dr. Nur Huda turut menjelaskan bahawa pengambilan kurma dalam diet seharian juga boleh mengelakkan daripada sembelit, penyakit jantung dan merendahkan kolesterol jahat.
Hal ini demikian kerana, buahan ini mengandungi peratusan serat tidak larut dan larut air antara 10 peratus hingga 20 peratus.

Kedua-dua jenis serat ini sangat penting untuk badan manusia. Serat tidak larut air dapat membantu pergerakan najis dalam sistem penghadaman manusia dan seterusnya, menghalang pemakannya daripada menghidapi sembelit.
Serat larut air pula penting dalam mencegah penyakit jantung serta menghalang peningkatan kolesterol jahat dalam darah.
“Dalam kebanyakan kurma, peratusan serat tidak larut air adalah lebih tinggi berbanding larut air,” ujarnya.
Penghidap anemia wajar mengambil buahan ini
Kurma turut dilaporkan membantu dalam pencegahan penyakit anemia iaitu, penyakit kekurangan darah merah. Penyakit ini biasanya disebabkan kekurangan pengambilan zat besi dalam makanan.
Buahan ini mengandungi kandungan zat besi yang tinggi, yang mana baik untuk golongan manusia yang menghidapi anemia.
“Kurma juga dianggap sebagai makanan tambahan yang praktikal bagi mereka yang mengalami kekurangan zat besi kerana ia tidak menunjukkan kesan sampingan seperti mual, sakit kepala, atau sembelit seperti dalam pengambilan tablet zat besi.” tambah pensyarah berkenaan.
Sehubungan itu, buah ini juga memberikan manfaat kepada golongan ibu yang sedang hamil. Selain memiliki kandungan zat besi yang tinggi, kurma juga mengandungi mineral potasium dan kalsium.
“Kandungan potasium dalam kurma adalah 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding buah-buahan lain. Potasium dapat mengekalkan rentak pengecutan otot badan dan jantung, serta mengawal atur tekanan darah ibu semasa pertumbuhan janin dalam rahim.
“Tambahan pula, kalsium adalah penting untuk pertumbuhan gigi dan tulang bayi dalam rahim. Di samping itu, kurma juga mengandungi vitamin c, tiamin, riboflavin, asid folik dan vitamin A.
“Walaupun kurma bukan sumber protein yang baik, namun kurma mengandungi kesemua 20 jenis asid amino. Namun kandungan asid amino prolina, asid aspartik, alanina, glisina, valina dan leusina adalah lebih tinggi berbanding asid amino lain.
“Kesemua nutrien ini dapat menyokong keperluan wanita mengandung dalam menyediakan nutrien yang mencukupi kepada ibu dan bayi.” jelasnya.

Kurma dapat merendahkan risiko kanser
Dr. Nur Huda juga berkata, banyak kajian saintifik melaporkan bahawa buah ini mengandungi bahan antipengoksida. Perkara ini dikaitkan dengan komponen fenolik dan flavonoid yang terkandung dalam buah ini.
Difahamkan, komponen-komponen ini sangat penting untuk mencegah penyakit kanser.
“Kajian saintifik telah melaporkan yang kandungan komponen fenolik dalam kurma adalah paling tinggi pada peringkat awal pemasakannya dan berkurang apabila kurma masak.
“Selain itu, kurma juga mengandungi komponen antosianidin yang dipercayai boleh membantu merendahkan risiko kanser,” kata Dr. Nur Huda.
Kesimpulannya, kurma merupakan bahan makanan yang dapat memberikan banyak manfaat kesihatan kepada manusia.
“Kurma sepatutnya bukanlah makanan bermusim yang diambil ketika bersahur dan berbuka puasa di bulan Ramadan.
“Kandungan nutrien kurma bergantung kepada jenis kurma dan tahap kematangannya. Namun, sebagai pengguna yang bijak, pengambilan kurma dalam diet seharian perlulah dalam kadar yang sederhana supaya manfaat kesihatan dapat diperolehi dengan optimum,” katanya.
BACA: Rindu Suasano Kelate? Secret Recipe Tawar Menu Istimewa Ramadan Untuk Ubati Rindu Anda
Sumber: USIM