Peniaga Pernah Jual Martabak Dengan Harga 40 Sen Pada 1987
Seorang peniaga yang berpengalaman dalam menjual martabak menceritakan bahawa hidangan lazim sewaktu bulan Ramadan ini pernah dijual dengan harga serendah 40 sen pada 1987.
Memetik Sinar Harian, Che Engku Ngah Engku Abdullah merupakan seorang peniaga martabak yang telah menjual juadah tersebut sejak 30 tahun lalu.
Beliau berkata, sungguhpun harganya sangat murah, pelanggan sangat berpuas hati dengan martabak yang disajikan pada waktu itu.
Peniaga yang berusia 55 tahun itu menjelaskan bahawa saiz martabak yang dijual lebih besar dan memiliki isi yang tebal.
“Saya masih ingat dulu masa mula-mula jual martabak di sini sekitar tahun 1987 hingga 1988, kita jual martabak dengan harga 40 sen. Waktu tu harga bagi bahan-bahan untuk membuatnya pun murah. Tidaklah mahal macam sekarang.
“Sekarang ni dengan kenaikan harga barang kita sendiri tak mampu untuk kekal jual dengan harga murah. Sebelum ini tiga, empat tahun kita maintain jual harga RM4, tahun ni kita terpaksa juga naikkan RM1 sebab harga bahan mentah terlalu mahal.
“Walaupun jual RM5, saiz dan kualiti tidak berubah, masih sama,” kata Che Engku Nyah kepada Sinar Harian.
Difahamkan, beliau telah ditemu bual oleh Sinar Harian semasa berada di gerainya yang terletak di Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada petang Sabtu.
Che Engku Ngah atau lebih dikenali dengan nama Man Martabak Legend berkata, harga terkini bagi seguni bawang merah dengan berat sembilan kilogram mencecah RM80.
Perkara ini dilihat jauh berbeza dengan harga barangan yang sama dengan kuantiti yang sama yang bernilai kira-kira RM22 pada tahun lalu.
“Semua bahan-bahan untuk buat martabak naik harga terutama sekali bawang. Bayangkan kalau sehari pakai dalam dua guni bawang. Sudah tentu dah lari harga modal kalau masih kekal harga lama.
“Sama juga dengan tepung. Harga tepung naik kepada RM70 tepung untuk seguni seberat 25 kilogram (kg). Pendek kata semua barang nak buat martabak naik harga termasuk telur ayam,” jelasnya.
Martabak air tangan Che Engku Nyah hanya boleh didapati sewaktu bulan Ramadan

Selain Che Engku Ngah, perniagaan martabaknya turut dibantu isterinya, Jamilah Jusoh (52) bersama empat orang anaknya.
Perniagaan martabak mampu milik yang dijalankan keluarga tersebut difahamkan hanya dijalankan pada bulan Ramadan sahaja.
“Martabak ni saya hanya jual pada bulan Ramadan sahaja. Kalau hari biasa tu kita jual roti canai. Jadi, itulah antara keunikan martabak saya ni sebab hanya ada pada bulan puasa.
“Dari segi sambutan tu kita bersyukur sebab pelanggan masih tak putus-putus. Cuma martabak kita hanya jual ayam, kita tak cukup pekerja untuk buat martabak daging.
“Tahun-tahun sebelum ni kita ada buat martabak daging tapi sekarang dah lama tak buat. Untuk martabak ayam kita ni setiap kita jual sekitar 200 keping sehari sepanjang puasa,” katanya.
Sebelum ini, martabak hasil air tangan Che Engku Ngah dan isterinya pernah menjadi tular dalam kalangan warga maya. Hal ini kerana kualiti dan rasa martabak yang luar biasa ketika menjamahnya menyebabkan pelanggan berpusu-pusu ke gerainya.
BACA: Google Malaysia Mohon Maaf Atas Kesilapan Nilai Tukaran USD-MYR
Sumber: Sinar Harian