Siakap Keli
keadaan padang snbj
Gambar: Sinar Harian

Keadaan Padang SNBJ Belum Berada Pada Tahap Terbaik

Keadaan Padang SNBJ Belum Berada Pada Tahap Terbaik

KUALA LUMPUR — Berbaki dua hari lagi menjelang perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Oman pada Selasa, keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) masih belum mencapai tahap terbaik.

Memetik Sinar Harian, perkara itu dikongsikan oleh seorang pemilik Youtube menerusi rakaman dron di stadium yang bakal menjadi medan perlawanan kedua-dua pasukan.

Sungguh menyedihkan apabila di beberapa bahagian permukaan padang berkenaan masih menampakkan rumput yang masih rosak, bertompok dan berpasir.

Sudah tentunya ia menimbulkan kebimbangan kerana bakal menganggu rentak permainan Harimau Malaya dan pelawat.

Lebih-lebih lagi, perlawanan ini menjadi misi penting untuk skuad kendalian Kim Pan-gon meraih kemenangan demi menebus kekecewaan selepas tewas kepada pasukan itu di Muscat Jumaat lalu.

Meskipun keadaan terkini padang berpotensi menjadi lebih baik berbanding rakaman dron pertama itu, bagaimanapun ia tidak menjamin rentak permainan terbaik oleh kedua-dua pasukan dalam perlawanan itu.

Padang Sempat Pulih Menjelang Perlawanan – PSM

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac berkata memberikan bayangan keadaan padang itu dapat diperbaiki menjelang perlawanan pada Selasa ini.

BACA: Bapa, Anak Perempuan Maut Dalam Nahas Di Keningau

Dalam hantaran yang dikongsikan menerusi Instastory miliknya, beliau turut tidak sabar menantikan perlawanan itu disamping mengajak orang ramai membanjiri stadium bagi memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.

Katanya lagi, PSM juga telah melibatkan tenaga pakar selepas konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran untuk memastikan keadaan padang dalam keadaan terbaik.

Terdahulu, Malaysia tewas 0-2 kepada Oman dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada Jumaat lalu.

Kedua-dua gol masing-masing dijaringkan oleh pemain Issam Al-Sabhi pada minit ke-58 dan Muhsen Al-Ghassani pada minit ke-88.

Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan D selepas tiga perlawanan berkongsi enam mata bersama Oman dan Republik Kyrgyzstan yang hanya dibezakan menerusi perbezaan defisit gol.

Manakala Chinese Taipei pula di tangga terakhir kumpulan tanpa sebarang mata terkumpul selepas tiga perlawanan dimainkan.

Sumber: Sinar Harian 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?