Siakap Keli
besi dalam bijirin
Gambar: TikTok

Viral Video Ada Besi Dalam Bijirin? Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu

Viral Video Ada Besi Dalam Bijirin? Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu

Baru-baru ini, tular video eksperimen oleh pengguna TikTok di luar negara yang menunjukkan mereka menemui besi atau iron di dalam bijirin yang dimakan ketika sarapan setiap pagi.

Dalam video eksperimen berkenaan, mereka menggunakan magnet berkuasa tinggi untuk menarik kandungan besi tersebut ke bahagian bucu bungkusan.

Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya kandungan besi berkenaan berjaya di kumpul. Video-video eksperimen berkenaan pantas menjadi viral dan menarik perhatian orang awam.

Ramai yang tertanya-tanya, kenapa ada kandungan besi dalam bijirin? Selamat ke makan bijirin-bijirin tersebut?

Jadi, SK kali ingin berkongsi beberapa jawapan yang mungkin dapat merungkai jawapan disebalik kehadiran besi dalam salah satu menu sarapan pagi kegemaran ramai ini.

Menurut Hello Doktor, dengan memakan bijirin penuh memberi kita nutrien dan manfaat lain yang sihat daripada semua bahagian bijian.

Kajian menunjukkan bahawa produk-produk wholemeal cereal yang digabungkan dengan gaya hidup yang sihat, secara umumnya dapat mengurangkan risiko penyakit jantung

Dalam pada itu, terdapat empat jenis bijirin yang biasa ditemui dalam pasaran iaitu bijirin berasaskan gandum, bijirin berasaskan oat, bijirin berasaskan rye dan bijirin berasaskan barli.

Bijiran diperkenalkan pada pertengahan dan lewat abad ke-19

Menurut National Library of Medicine, produk-produk bijirin yang diperkaya mula diperkenalkan pada tahun 1941 di Amerika Syarikat selepas zat besi dan tiga lagi vitamin ditambah dalam produk tepung dan roti.

Manakala produk bijirin siap dimakan yang diperkaya dengan kandungan mineral berkenaan turut diperkenalkan sekitar tahun yang sama.

Keputusan itu kemudian menyumbang kepada peningkatan pengambilan zat besi dan mengurangkan masalah anemia di negara tersebut.

Pada 1996, Food and Drug Administration (FDA) memuktamadkan peraturan untuk produk-produk bijirin tertentu diperkaya dengan asik folik pula.

Langkah itu diambil bagi meningkatkan pengambilan folat dalam kalangan ibu mengandung sekaligus mengurangkan risiko kehamilan terjejas dengan masalah kelahiran dengan kecacatan tiub saraf.

Bagaimanapun, seiring beredarnya waktu dan masyarakat semakin banyak mengambil kandungan mineral, keputusan untuk menambah kandungan mineral seperti zat besi dalam bijirin mula dikaji semula.

Kepentingan kandungan besi untuk badan

Menurut pengeluar produk bijirin siap dimakan terkemuka dunia, Nestle, zat besi diperlukan badan untuk menghasilkan haemoglobin. Protein berkenaan adalah salah satu komponen penting sel darah merah yang mengangkut oksigen ke seluruh badan.

Selain itu, zat besi juga diperlukan untuk menghasilkan myoglobin, yang membantu membawa oksigen ke otot-otot. Malah, zat besi juga sebahagian daripada komponen beberapa hormon.

Umumnya, sel-sel badan manusia memerlukan oksigen yang mencukupi untuk terus berfungsi, menjadikan kandungan haemoglobin yang mencukupi adalah sangat penting kepada kesihatan. Otak juga memerlukan kandungan oksigen yang mencukupi untuk berfungsi.

Athirah

When nothing goes right, go left.