Siakap Keli
datuk kapten izham ismail
Kredit: Malaysia Airlines

Kenali Datuk Kapten Izham Ismail, Tonggak Penting Di Sebalik Kejayaan MAG

Kenali Datuk Kapten Izham Ismail, Tonggak Penting Di Sebalik Kejayaan MAG

Malaysia Aviation Group (MAG) dilaporkan telah mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM766 juta pada tahun lalu.

Jumlah ini dianggap satu peningkatan besar berbanding kerugian bersih yang dialami MAG sebanyak RM344 juta pada 2022.

Kumpulan itu turut merekodkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM13.85 bilion,. Ini merupakan peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding RM10.61 bilion pada 2022.

Difahamkan, MAG sudah lama tidak merasai pencapaian ini, yang mana keuntungan bersih sebanyak ini kali terakhir dapat dicapai pada 2010.

Bercakap mengenainya, baru-baru ini tular mengenai salah seorang individu penting yang berjaya mengembalikan sinar kepada MAG selepas 13 tahun.

Untuk makluman, Datuk Kapten Izham Ismail adalah salah seorang tonggak kejayaan MAG baru-baru ini. Beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan MAG dan dalam masa yang sama turut memegang jawatan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad.

Beliau juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Sekuriti Lembaga Pengarah.

Gambar: Bernama

Berkecimpung dalam industri penerbangan di Malaysia selama hampir empat dekad

Menariknya, Izham sendiri memiliki pengalaman dalam industri penerbangan di Malaysia selama hampir 40 tahun.  Beliau telah memulakan kariernya bersama Malaysia Airlines sebagai seorang juruterbang pada tahun 1979.

Selepas 10 tahun menyertai Malaysia Airlines, Izham telah ditawarkan jawatan pada peringkat pengurusan. Dengan ini, beliau telah memegang pelbagai jawatan di syarikat terbabit.

Antaranya, Naib Presiden Eksekutif Operasi Penerbangan, Pengarah Operasi dan Ketua Pegawai Operasi (COO) di Malaysia Airlines. Izham turut berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASwings, salah satu syarikat di bawah naungan Malaysia Airlines di Sabah dan Sarawak.

Gambar: Bernama

Beliau telah menjalankan tanggungjawabnya di MASwings selama beberapa bulan iaitu antara Julai hingga November 2016.

Selain pengalaman yang luas dalam dunia penerbangan, Izham kini turut berkhidmat sebagai ahli lembaga untuk Tourism Malaysia.

Sebagai seorang juruterbang, Izham telah memecahkan rekod penerbangan dunia ketika menerbangkan Boeing 777-200 pertama milik Malaysia Airlines dari Seattle ke Kuala Lumpur dan kembali semula ke tempat pelepasan.

Penerbangan ini telah mencipta rekod baharu dan menjadi penerbangan terpantas ke seluruh dunia oleh pesawat komersial, dengan jumlah penerbangan kira-kira 41 jam 59 minit bagi jarak perjalanan kira-kira 23,310 batu.

Sementara itu, mengulas mengenai kejayaan terbaru MAG, beliau menyifatkan ia sebagai satu pencapaian penting dan prestasi kukuh trafik penumpang daripada segmen premium, aliran rangkaian antarabangsa yang diperhebat, dan pengurusan kapasiti yang aktif.

“Kejayaan ini dicapai walaupun berdepan kos operasi dan buruh yang lebih tinggi, ringgit yang melemah, cabaran dalam rantaian bekalan disebabkan peningkatan kos dan komitmen penghantaran yang tidak menentu, harga bahan api dan kadar faedah yang tinggi,” katanya.

BACA: Setiap Bahan Ada Maksud Tersendiri, Ini Falsafah Sebalik Hidangan Rendang

Sumber: Bernama & Malaysia Airlines

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma