Siakap Keli
PM Anwar Beri Bayangan Tiada Cuti Tambahan Sempena Sambutan Aidilfitri
Sumber: Astro Awani

“Kita Kena Ada Semangat Kerja”, PM Beri Bayangan Tiada ‘Cuti Tambahan’ Sempena Aidilfitri

“Kita Kena Ada Semangat Kerja”, PM Beri Bayangan Tiada ‘Cuti Tambahan’ Sempena Aidilfitri

Menjelang sambutan Aidilfitri pada April depan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan tiada ‘cuti tambahan’ yang akan diberikan.

Menurut Astro Awani, beliau berkata demikian ketika diajukan soalan ringkas berkenaan kemungkinan cuti tambahan diberikan pada 12 April ini.

“Kita kena ada semangat kerja,” katanya seperti dilaporkan portal berita tersebut.

Astro Awani berkata, soalan itu ditanyakan kepada beliau selepas Perdana Menteri selesai berbuka puasa bersama hampir 10,000 orang dalam Majlis Iftar Madani di Putrajaya sempena Hari Nuzul al-Quran, semalam.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam majlis itu, beliau berkesempatan menyaksikan penyampaian sumbangan sebanyak RM110,000 oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sumbangan tersebut diberikan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Manakala sebanyak 10,000 pek juadah berbuka puasa dan bubur lambuk juga diagihkan kepada orang ramai yang hadir.

Perdana Menteri kemudian mendirikan solat Maghrib secara berjemaah dengan diimamkan oleh Penolong Pengarah Kanan Masjid Putra, Abdul Karim Zakaria selepas majlis berbuka puasa.

Antara tetamu-tetamu kehormat lain yang hadir dalam majlis itu adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Selain itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K.Sarawathy dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli juga menghadiri majlis berkenaan.

BACA: Kenapa Pintu Penumpang Naik Pesawat Selalu Belah Kiri? Bukan Saja-saja, Ini Sebabnya

Sumber: Astro Awani

Sharifah Hannah Adibah