Horizon Beranang Circuit Siap Dibina, Lengkap 12 Susun Atur Litar
Horizon Beranang Circuit di Hulu Langat, Selangor dilapor akan siap dibina dan bakal menjadi salah satu tarikan buat orang awam tidak lama lagi.
Berita baik khususnya buat penggemar sukan permotoran ini dikongsikan oleh Two Wheels melalui satu hantaran di Facebook mereka yang turut memaparkan gambaran secara penuh kawasan litar tersebut.
https://www.facebook.com/twowheelsmediamy/posts/pfbid095d9oDzZHeEMdqYWNSsn2mEhxAZnM522WRr7Au92L3x5SJ5epTT9JdFGM52DBnYFl
Menurut Two Wheels, Horizon Beranang Circuit diilhamkan oleh tenaga kerja Horizon Motorsports. Litar ini dibina di atas tanah berkeluasan 6 ekar dengan bantuan Majlis Perbandaran Kajang. Ia menempatkan litar sepanjang 1 kilometer serta pelbagai kemudahan sokongan seperti pit, tempat penonton, kafe dan lain-lain.
Lebih menarik lagi, litar ini dikatakan istimewa dan berbeza daripada litar-litar kecil lainnya, khususnya dari segi susun atur litar. Litar ini menawarkan 12 pilihan susunan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan latihan serta jentera lumba.
Selain memberi peluang kepada atlet tempatan untuk terus berkembang, pembinaan litar ini bakal memberi nafas baru dalam bidang sukan di Malaysia. Hal ini kerana melaluinya, secara tidak langsung pencarian bakat baru bagi sukan permotoran boleh dilaksanakan.
Malah, pembinaan litar ini dijangka bakal menjadi tumpuan bukan sahaja bagi komuniti sukan motor tempatan, tetapi juga pelancong dari luar negara. Dengan tarikan dan kemudahan yang ditawarkan, tidak hairanlah jika ia menjadi destinasi pilihan untuk perlumbaan, latihan dan acara sukan permotoran.
Ini tidak hanya akan meningkatkan taraf sukan permotoran di Malaysia, tetapi juga membawa manfaat kepada ekonomi tempatan melalui pelancongan sukan.
BACA: Duit Banyak, Billionaire Jepun Bina Trek Lumba Peribadi Di Atas Gunung
Sumber: Two Wheels via Facebook