Laung Azan Maghrib Awal 4 Minit, Masjid Prima Saujana Mohon Maaf
SHAH ALAM — Masjid Prima Saujana di Kajang dilaporkan tidak sengaja melaungkan azan Maghrib empat minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar (Maghrib) pada Sabtu, lapor Sinar Harian.
Menurut Nazir Masjid Prima Saujana Kajang, Mohamad Asri Harun, insiden itu berpunca daripada masalah teknikal.
Difahamkan, para jemaah Masjid Prima Saujana Kajang telah berbuka puasa kerana bergantung sepenuhnya pada laungan azan Maghrib. Susulan itu, mereka terpaksa menggantikan semula puasa pada hari tersebut.
Permohonan maaf pihak masjid
“Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Prima Saujana, Kajang memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib empat minit sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac disebabkan masalah teknikal.
“Kami telah merujuk perkara ini kepada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan dimaklumkan, jemaah yang bergantung semata-mata pada laungan azan Maghrib dari Masjid Prima Saujana Kajang untuk berbuka puasa pada hari tersebut, puasa mereka adalah terbatal serta perlu diganti/diqadha,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.
BACA: “Ingatkan Dekat Malaysia”, Wanita Kongsi Kemeriahan Suasana Bazar Ramadan Di Australia
Terdahulu, kejadian yang sama turut berlaku di Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan melaungkan azan Maghrib dua minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac 2023.
Susulan itu, pengurusan masjid itu tampil memohon maaf atas kesilapan tersebut.
Justeru, puasa jemaah yang merujuk kepada azan Maghrib daripada masjid tersebut untuk berbuka adalah terbatal dan perlu diganti semula.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Timbalan Pengerusi masjid berkenaan, Ahmad Nasir seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Untuk makluman, sesiapa yang terbatal puasanya, perlu menqqada (mengganti) amalan tersebut selepas Ramadan tahun ini tamat.
Katanya, kesilapan tersebut berpunca dari masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid berkenaan pada hari terbabit.
“Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan memohon maaf atas kesilapan melaungkan azan Maghrib dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada Khamis, 8 Ramadan 1444 Hijrah bersamaan 30 Mac 2023,” katanya menerusi satu kenyataan bertarikh 1 April lalu.
Sumber: Sinar Harian