Siakap Keli
Gambar: Bernama

Lelaki Israel, Pasangan Suami Isteri Berdepan Hukuman Mati Jika Disabit Kesalahan

Lelaki Israel, Pasangan Suami Isteri Berdepan Hukuman Mati Jika Disabit Kesalahan

Seorang lelaki warga Israel dan pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan kerana didakwa memiliki senjata api bakal berhadapan hukuman mati jika disabit kesalahan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hal ini kerana kertas siasatan terhadap semua suspek dibuka di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Sebelum ini, semasa penangkapan terhadap lelaki warga Israel pada 27 Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966, namun siasatan dijalankan terhadap kesalahan yang lebih berat.

“Begitu juga dengan pasangan suami isteri yang berusia 42 dan 40 tahun itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Senjata Api 1971,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan di hadapan media dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman pada Selasa.

Jelasnya, mana-mana individu yang didapati bersalah di bawah Akta Senjata Api 1971, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati.

“Pada masa ini kita masih menjalankan siasatan secara terperinci ke atas ketiga-tiga suspek.

“Kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenalpasti motif sebenar tujuan pemilikan senjata api berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, lelaki Israel terbabit berada dalam tahanan reman sehingga 7 April ini.

Manakala, tahanan reman terhadap pasangan suami isteri tempatan pula dijadualkan akan berakhir pada 5 April ini.

“Sebarang proses susulan untuk sambung reman akan dipohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan,” ujarnya.

Lelaki Israel ditahan bersama enam pucuk pistol

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan mengenai penahanan suspek warga Israel bersama enam pucuk pistol pada Jumaat lepas.

Antaranya, pistol jenis SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Selain itu, terdapat dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis dan pasport Israel. Lelaki berkenaan telah menggunakan pasport Perancis untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.

Menerusi hasil soal siasat, suspek mendakwa dirinya telah  datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya.

Suspek merancang untuk membunuh individu terbabit kerana kononnya atas isu keluarga. Sungguhpun begitu, pihak polis tidak mempercayai dakwaan yang dikemukakan oleh suspek.

Keesokan harinya, media melaporkan sepasang suami isteri warga tempatan diberkas polis di bazar Ramadan dekat Kuala Selangor pada Jumaat.

Dua suspek masing-masing berumur 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman jam 7.15 malam.

Penangkapan tersebut susulan, kedua-duanya dipercayai telah membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada suspek.

Polis turut menemui sepucuk pistol dalam sebuah beg galas yang berada di dalam kereta Honda Jazz, di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

BACA: Surat Layang: FAM Mahu Buat Laporan Polis

Sumber: Sinar Harian

BACA: “Mall” Jual Baju Raya Bawah RM300 Untuk 4 Sekeluarga, Top 5 Fesyen Tahun Ini Pun Ada

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma