Siakap Keli
periksa lima benda kereta
Kredit: Bernama

Sebelum Balik Kampung, Periksa Lima Benda Ni Pada Kereta Anda

Sebelum Balik Kampung, Periksa Lima Benda Ni Pada Kereta Anda

Pulang ke kampung halaman adalah satu perkara yang menjadi kemestian buat golongan yang berada di perantauan. Ada yang pulang dengan menggunakan perkhidmatan kenderaan awam seperti kereta api dan bas.

Ada juga yang pulang ke kampung halaman dengan menggunakan kapal terbang, khususnya bagi penduduk di Semenanjung Malaysia yang bakal beraya di Sabah dan Sarawak atau sebaliknya.

Dan sudah semestinya, kebanyakan anak perantauan akan pulang ke kampung halaman dengan menggunakan kereta. Bagi geng balik kampung dengan kereta, ada di antaranya bergerak bersama rakan atau ahli keluarga, ada juga yang bergerak solo.

Tidak kisahlah sejauh mana perjalanan yang bakal dihadapi, persiapan untuk menempuh perjalanan jauh wajar dilakukan. Hal ini kerana, persiapan yang rapi dapat memastikan perjalanan anda berjalan lancar, serta tidak mengalami sebarang masalah yang tidak diingini.

BACA: “Mall” Jual Baju Raya Bawah RM300 Untuk 4 Sekeluarga, Top 5 Fesyen Tahun Ini Pun Ada

Antara persiapan yang perlu dilakukan adalah memeriksa beberapa bahagian penting pada kereta anda sebelum bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jika anda merasa kurang yakin dengan pengetahuan kereta, PLUS telah menggariskan lima perkara penting yang perlu periksa sebelum pulang ke kampung halaman.

Syarikat konsesi lebuh raya itu telah berkongsi maklumat berguna tersebut menerusi akaun X (@plus2u) pada Selasa.

“Pastikan kenderaan anda diperiksa dan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan pulang beraya.

“Jadilah pemandu yang lebih peka dengan kenderaan anda supaya pemanduan anda berjalan lancar agar dapat sampai ke kampung halaman dengan selamat,” jelasnya.

Berikut merupakan perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama sekali, anda perlu memeriksa beberapa bahagian pada enjin kereta seperti paras minyak pelincir, bateri, tali kipas dan paras air pada radiator.

Hal ini bagi memastikan suhu kereta anda tidak berada pada paras yang membimbangkan serta komponen elektronik dapat berfungsi dengan baik sewaktu perjalanan.

Kedua, pengguna juga harus menjalankan pemeriksaan pada semua jenis lampu yang terdapat pada kereta masing-masing.  Pastikan bahagian lampu seperti lampu utama, lampu isyarat, lampu brek dan lampu isyarat kecemasan menyala dalam keadaan baik.

Ia penting untuk melihat persekitaran jalan dalam keadaan yang sangat gelap, di samping memberikan isyarat yang tepat pada pengguna jalan raya yang lain.

Seterusnya, kita juga perlu cakna mengenai salah satu bahagian penting dalam kereta kita iaitu tayar. Tanpa tayar, sudah semestinya kereta tidak dapat bergerak ke mana-mana.

Anda perlukan memastikan bahagian-bahagian penting tayar seperti tekanan angin, keadaan tayar dan tayar gantian berada dalam keadaan yang baik.

Di samping itu, anda juga harus memberikan perhatian pada bahagian brek, kerana bahagian ini bakal menyelamatkan nyawa anda pada waktu kecemasan.

Sebelum pulang ke kampung halaman pastikan bahagian brek seperti minyak brek, brek tangan dan keberkesanan brek berada pada tahap yang sangat baik.

Akhir sekali, anda perlu memastikan pengelap cermin berserta getahnya tidak mengalami sebarang masalah. Keadaan cuaca ketika perjalanan pulang ke kampung halaman sudah semestinya tidak dapat dikawal.

Jika kereta anda ditimpa hujan sewaktu perjalanan, sekurang-kurangnya anda dapat mengalihkan air yang berada di cermin hadapan untuk membantu penglihatan sewaktu memandu.

Semoga bermanfaat dan selamat tiba ke destinasi.

BACA: Surat Layang: FAM Mahu Buat Laporan Polis

Sumber: PLUS Malaysia via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma