Siakap Keli
taiwan gempa susulan
Kredit: CNN

Selepas Gempa 7.4M, Taiwan Dilanda Lebih 50 Gempa Susulan

Selepas Gempa 7.4M, Taiwan Dilanda Lebih 50 Gempa Susulan

Satu kejadian gempa bumi kuat dengan 7.4 magnitud dilapor menggegar timur Taiwan pada pagi Rabu yang menyaksikan beberapa buah bangunan dilapor runtuh.

Memetik kenyataan dari Pusat Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat, pusat gempa berkenaan dikatakan terletak kira-kira 18 kilometer dari selatan bandar Hualien.

Menurut portal CNN, susulan gempa berkenaan, amaran tsunami turut dikeluarkan oleh beberapa negara jiran yang terletak berdekatan dengan Taiwan.

Selain Taiwan yang meminta penduduknya berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, amaran tsunami turut dikeluarkan oleh Jepun dan Filipina.

Agensi Meteorologi Jepun misalnya mengeluarkan amaran tsunami di Pulau Miyakojima dan Okinawa dengan jangkaan ombak setinggi 3 meter.

Selepas gempa 7.4m, lebih 40 gempa susulan menggegar bandar Hualien

Sementara itu, agensi Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA) dalam kemas kini menerusi laman webnya memaklumkan lebih 50 kejadian gempa susulan direkodkan setakat 11.57 pagi (waktu tempatan).

Menurut maklumat yang dipaparkan di laman CWA, gempa susulan di bandar Hualien itu berlaku selang beberapa minit antara satu kejadian ke satu kejadian yang lain.

Manakala kekuatan gempa susulan yang dicatatkan berlaku rata-rata antara 3-5 magnitud.

Bagaimanapun, terdapat sekurang-kurangnya dua kejadian gempa susulan kuat yang direkodkan berlaku.

Gempa susulan kuat yang pertama direkodkan pada 8.11 pagi dengan kekuatan 6.5 magnitud. Sementara itu gempa susulan kuat kedua direkodkan berlaku pada 10.14 pagi dengan kekuatan 6.2 magnitud.

Bangunan runtuh, lebuh raya rosak

Dalam perkembangan terkini gempa, Pusat Perintah Kecemasan Taiwan (CEOC) berkata sekurang-kurangnya sekurang-kurangnya 26 bangunan runtuh dalam kejadian itu.

CEOC berkata, pihaknya turut menerima laporan bahawa ada mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan berkenaan.

Rangkaian elektrik di kawasan gempa juga mengalami gangguan dengan sekurang-kurangnya 91,000 buah isi rumah terputus bekalan kepada sumber tenaga tersebut.

Di media sosial, beberapa video yang menunjukkan keadaan ketika kejadian gempa berkenaan berlaku turut menjadi tular.

Berdasarkan video berkenaan, beberapa buah bangunan kelihatan hampir runtuh selain kejadian tanah runtuh juga turut dilaporkan berlaku.

BACA: Taiwan Digegar Gempa Kuat 7.4M, Ada Bangunan Didakwa Runtuh

Sumber: CNN, Central Weather Administration

Athirah

When nothing goes right, go left.