Malaysia Bebas Penyakit Anthrax

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memandang serius wabak disyaki penyakit anthrax yang telah dilaporkan media berlaku di Champasack Province, Lao PDR pada 26 Mac 2024 lalu. Melalui perbincangan ASEAN EOC Network VC: Anthrax Outbreak in Lao PDR yang diselaraskan oleh pihak KKM pada 2 April 2024, pihak berkuasa Lao PDR mengesahkan bahawa tiada kes disahkan positif anthrax melalui ujian makmal pada manusia mahupun haiwan.
Penyakit anthrax ini disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia dan boleh membawa maut. Penyakit ini boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis. Penyakit ini boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada haiwan ternakan.
Antara tanda klinikal penyakit ini pada ternakan ialah kematian mengejut, demam yang tinggi, lemah, moyok, lesu, sukar bernafas, bengkak di kawasan jangkitan, terutamanya di kawasan leher, muntah dan cirit-birit. Dalam sesetengah kes, darah keluar dari hidung, mulut, atau dubur ternakan. Para penternak perlulah melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda tersebut.
Untuk makluman, Malaysia bebas daripada penyakit anthrax semenjak kes terakhir yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976. Sehingga kini, tiada sebarang laporan berkenaan penyakit anthrax di negara ini. Walau bagaimanapun, penyakit berkenaan sentiasa aktif di kebanyakan negara di merata benua.
Sebagai langkah berjaga-jaga, DVS telah, sedang dan akan terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan yang berikut, demi memastikan negara sentiasa bebas daripada anthrax;
1. Memaklumkan pihak berkuasa veterinar Thailand terhadap kebimbangan Malaysia ke atas wabak anthrax dan meminta agar pemeriksaan penyakit anthrax dikenakan ke atas semua ternakan Thailand ke Malaysia.
2. Meneruskan aktiviti pemantauan klinikal ke atas ternakan ruminan di negara ini melalui Program Survelan Kebangsaan untuk mengesan penyakit anthrax seawal yang mungkin.
3. Meningkatkan tahap kesiapsiagaan DVS terhadap penyakit anthrax di semua peringkat termasuk DVS negeri, makmal veterinar dan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), melalui persediaan kelengkapan logistik, proses kerja menghadapi wabak penyakit anthrax dan mengemas kini maklumat berkenaan anthrax.
4. Menyediakan garis panduan pemeriksaan penyakit anthrax kepada pegawai MAQIS di pintu-pintu masuk negara untuk memastikan penguatkuasaan teknikal dapat dijalankan dengan lebih efisien dan efektif khususnya ke atas ternakan import dari Thailand.
5. Menyediakan risalah penyakit anthrax untuk edaran umum sebagai panduan mencegah daripada dijangkiti anthrax.
DVS ingin menasihati para penternak untuk meningkatkan tahap biosekuriti ladang terutamanya menjelang musim perayaan yang akan datang. Setiap ternakan baharu yang dibawa masuk ke ladang, perlu dipastikan tahap kesihatannya melalui pemeriksaan Pegawai Veterinar bertauliah dan permit pergerakan ternakan yang sah.
DVS juga menegaskan agar penternak sentiasa berhati-hati dengan sebarang kemasukan ternakan yang tidak mempunyai permit pergerakan yang sah terutamanya ternakan yang dibawa masuk dari negara jiran. Semua pihak, khususnya penternak adalah dipohon untuk sentiasa mengambil perhatian terhadap perkembangan semasa kejadian penyakit haiwan dan melaporkan segera kepada DVS Negeri berhampiran atau hotline 03-8870 2041 sekiranya mengesan sebarang tanda klinikal pada haiwan ternakan masing-masing.