Siakap Keli
9 pesanan anak kedua
Gambar: Gemini AI

Lelaki Ini Kongsi 9 Pesanan Berguna Untuk Ibu Ayah Yang Bakal Timang Anak Kedua

Lelaki Ini Kongsi 9 Pesanan Berguna Untuk Ibu Ayah Yang Bakal Timang Anak Kedua

Sebut sahaja pasal jodoh, sudah tentu ia merupakan rahsia Allah SWT. Bila dan dengan siapa, cepat atau lambat semua sudah ditentukan oleh yang Maha Esa.

Apabila masuk ke dalam fasa perkahwinan, kehidupan semasa bujang dan semasa berkahwin sangat berbeza. Hal ini kerana perkahwinan ialah amanah untuk memikul tanggungjawab membentuk keluarga yang lebih besar.

Dalam pada itu, setiap pasangan yang berkahwin pasti ingin mempunyai cahaya mata sendiri. Kehadiran dan kelahiran bayi pastinya akan mengubah kehidupan anda dan pasangan.

9 pesanan untuk pasangan ada anak kecil dan bakal timang cahaya mata kedua

Setiap mereka yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalami perubahan dalam kehidupan. Sudah tentu ia berbeza daripada apa yang mungkin anda alami dan sentiasa menguji tahap kesabaran.

Adakala terdapat perubahan dalam hidup anda setelah berkeluarga, yang mungkin anda tidak sedari.

Baru-baru ini, salah seorang pengguna Facebook (Nur Adnin Abdul Razak) memberi pesanan kepada ibu bapa lebih-lebih lagi yang bakal menimang cahaya mata kedua.

Jom kita sama-sama hayati pesanan tersebut dibawh.

PESANAN untuk kawan-kawan yang dah ada anak kecil seorang & bakal ada yang kedua:

1. Zaman indah anak seorang akan berakhir. Lepas ni, korang jaga dua anak kecil. Umur tak jauh beza. Ibarat jaga kembar. Kau dah kena bahagi tugas, anak sulung kau jaga & si adik isteri jaga.

2. Masa lapang dah tak macam dulu. Bunyi menangis, merengek akan bersilih ganti siang & malam. Kalau dulu ‘meriah’ dengan suara si sulung, akan datang meriah boleh bertukar ‘perang’. Kalau isteri kau jadi ‘singa’, jangan pelik. Hadap dengan sabar. Fahami dia. Kau kena bantu.

3. Waktu paling kritikal adalah pagi & sebelum tidur malam. Pagi dari bangun sampai nak pergi kerja, malam belum tentu. Si sulung dah lelap, si adik belum tidur. Kalau dia menangis, si sulung terjaga, dua-dua meraung. Belum kira kalau diorang terjaga tengah malam, kau kena layan sampai tidur.

4. Urusan & keadaan rumah makin mencabar. Kau dah tak ada masa sangat balik kerja boleh rehat tidur lena. Ulang point 1 kat atas. Isteri seharian kena jaga si adik. Jadi si sulung dah jadi 100% bawah tanggungjawab kau. Dari bangun tidur, mandi, makan, main, cebok berak, bawak keluar jalan sampailah ke tidur malam, waktu ni paling best kau nak bonding dengan si sulung. Penat? Baru kau tahu apa isteri kau rasa selama ni.

5. Isteri kau tak sempat nak cantik. Bila ada dua anak kecik, dia dah kurang masa nak melawa. Kau jangan kecik hati kalau isteri kurang bagi perhatian. Otak, badan dia penat. Kalau kau suami sejati, ayah yang steady, kau tak sampai hati nak minta dilayan ketika isteri dah kusut serabai penat seharian jaga dua anak.

6. Dalam celahan ‘hiruk-pikuk’ suara dua anak kecik menangis ni, kat sinilah Tuhan uji siapa diri kau sebagai suami & ayah. Sama ada kau steady boleh bantu isteri jaga anak, atau lepas tangan buat-buat penat lepas tu melepak luar atau tidur.

7. Kewangan. Benda ni paling menguji, nak-nak kalau kau golongan B40. Kalau dulu habis beratus untuk stok pampers & susu bagi seorang, sekarang dah berganda. Kiralah sendiri. Tu belum masuk bila diorang sakit. Akan sampai masa, kau tak dapat nak fikir belanja apa-apa selain pampers, susu & barang bayi yang lain dulu.

8. Dengan tak berapa kaya, anak dah dua, kos hidup makin tinggi. Percaya cakap aku, satu masa nanti kau mesti ‘koyak’ mental juga. Tapi itu lumrah. Jangan nafikan perasaan & emosi. Yang sepatutnya adalah bagaimana cara kau kendali. Terduduk, jangan sampai mati. Bangun semula, berdoa & teruskan hidup. Percaya dengan rezeki & ketentuan-Nya.

9. Kebergantungan hidup. Hidup makin mencabar. Tapi bak kata M. Nasir, “Hidup ini hanya untuk dilalui,”. Ya. Kau hadap saja. Usaha, setakat termampu. Doa. Selebihnya, kau serahkan kepada Allah. Kita manusia. Kita takkan boleh ada semua.

Aku tulis semua ni berdasarkan pengalaman setakat tiga tahun kahwin & ada dua anak kecil. Aku pun tak hebat mana. Ada masa pernah jatuh teruk. Beberapa kali tersampai ke fasa titik terendah dalam hidup.

Namun dalam kegelapan itulah, isteri pegang tangan kuat, minta doa, bersabar dan teruskan hidup. Percaya dengan rahmat-Nya. Air mata jadi saksi bisu macam mana kami ‘redah’ semuanya.

Kenapa aku tulis benda ni? Takda apa-apa sebab. Ia cuma untuk mewarnai tarikh ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga pada 2 April semalam.

Baru tiga tahun. Baru dua anak. Tapi jalan ceritanya sangat panjang. Kami ada berpuluh tahun lagi untuk hidup bersama sampai ke tua. Insya-Allah. Moga Allah merahmati hidup & mati kami. Selamanya.

Aku akhiri tulisan ni dengan pepatah yang direka sendiri. Yang aku selalu pegang bila hadap masalah hidup:

“Tetaplah terus walau semangat hilang. Terus, dan terus, dan terus. Hingga tiba ke titik terakhir, tersungkur bangga di pintu syurga”

Selamat ulang tahun perkahwinan yang ketiga, Ustazah Seha.

– abah Juna & Embun,

3 April 2024, 11 malam.

Athirah

When nothing goes right, go left.