Siakap Keli
dua cedera kereta terbabas
Gambar: Tangkap layar video tular

Dua Cedera, Kereta Terbabas Dihimpit

Dua Cedera, Kereta Terbabas Dihimpit

Pemandu dan penumpang kenderaan Proton Waja dilaporkan cedera setelah kereta yang dinaiki terbabas selepas melanggar sebuah Honda City di Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Ketua Polis Bentong Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.15 pagi itu melibatkan kereta Proton Waja, dari Kuantan menuju ke Kedah dan Honda City.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menjalankan siasatan dan mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila sebuah kereta Proton Waja yang dipandu telah berlaku pelanggaran di bahagian sisi dengan sebuah lagi kenderaan kereta Honda.

“Kereta Waja tersebut gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke kiri jalan masuk ke dalam longkang dan terbalik,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, sebelum kemalangan berlaku, kedua-dua kereta didapati telah memandu secara cuai, melulu serta menghimpit.

“Kedua-dua kenderaan itu membuat provokasi kerana tidak berpuas hati dari pemanduan kereta masing-masing,” ujarnya.

Disebabkan itu, pemandu Waja berusia 56 tahun dan anak lelakinya berumur 25 tahun mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya bahawa dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya betapa pentingnya etika di jalan raya.

“Pengguna jalan raya wajib memahami dan mengamalkan etika semasa memandu atau menunggang kenderaan supaya kita sama-sama dapat menyelamatkan nyawa, mencegah kecederaan, dan sekali gus mengurangkan kemalangan.

“Didik diri agar bertimbang rasa dan bertolak ansur ketika berada di atas jalan raya,” katanya.

Sumber: Polis Bentong

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana