Siakap Keli
rumah projek ecrl
Kredit: TikTok

Bakal Dirobohkan Untuk Projek ECRL, Wanita Kongsi Kenangan Aidilfitri Terakhir Di Rumah

Bakal Dirobohkan Untuk Projek ECRL, Wanita Kongsi Kenangan Aidilfitri Terakhir Di Rumah

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan salah satu projek pembangunan yang sering dinantikan oleh ramai penduduk di Malaysia.

Hal ini kerana, kita dapat melihat lebih banyak pilihan pengangkutan yang menghubungkan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Dengan adanya laluan rel ini, kadar kebergantungan terhadap kenderaan seperti kereta dan bas dapat dikurangkan dan mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas, khususnya ketika musim perayaan.

Sungguhpun kebanyakan rakyat Malaysia merasa teruja dengan pembangunan, ada beberapa pihak perlu mengorbankan salah satu benda yang berharga dalam hidup mereka.

Misalnya, seperti seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Jihan Sukkie (@jihansukkie7).

Dia berkongsi perasaan sayu apabila terpaksa melihat rumah yang menjadi tempat berteduh untuk keluarga selama bertahun-tahun bakal dirobohkan kerana projek ECRL.

Dalam hantaran yang dibuat baru-baru ini, wanita berkenaan berkongsi rasa sedihnya ketika pulang ke rumah tersebut buat kali terakhir.

Kredit: TikTok

“1542, Kampung Banggol Karah, syurga yang kami diami sejak 1984,” Jihan mula berkongsi kisahnya dalam hantaran di TikTok.

Jelasnya, rumah tersebut memiliki nilai sentimental yang besar buat keluarga yang mengandungi sembilan adik beradik itu.

Hal ini kerana, rumah berkenaan menjadi bukti bapanya berkerja keras untuk memberikan tempat tinggal terbaik untuk ahli keluarganya.

“Dari rumah kayu, ayah berkerja keras besarkan tambah konkrit,” jelasnya.

Sehubungan itu, rumah tersebut dijadikan sebagai tempat berkumpul sewaktu hari perayaan pada setiap tahun seperti Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya.

Bagi Jihan, rumah yang menjadi tempat berteduh selama bertahun-tahun itu sudah dianggap mewah buat diri mereka.

“Terima kasih emak dan ayah sediakan rumah yang umpama syurga untuk kemi sekeluarga,

“Tapi terlalu sedih bila syurga yang kami diami dan yang kami berteduh terpaksa dirobohkan demi pembangunan,” luahnya.

Walaupun hatinya sayu, wanita itu menganggap bahawa segala harta milik kita di dunia bukanlah menjadi kepunyaan hakiki dan boleh dimiliki selama-lamanya.

“Kadang-kadang apa yang kita sayang, itulah yang terpaksa kita lepaskan,” katanya.

Oleh sebab itu, kesemua adik beradik Jihan telah pulang beraya ke rumah tersebut pada hari raya bagi mengucapkan salam terakhir kepada setiap inci bangunan yang memberikan seribu satu makna kehidupan buat mereka.

“Kutip setiap saki baki memori yang masih tersisa di sini,

“Terlalu sedih bila berkemas dan sejak melihat semula album-album lama, rasa macam ditarik semula ke belakang waktu,” ujar Jihan.

Wanita itu dapat merasakan bahawa kedua ibu bapanya merupakan insan yang paling berduka cita atas apa yang berlaku.

Pasangan itu terpaksa melepaskan salah satu perkara yang paling berharga dalam kehidupan mereka kerana banyak masa dan usaha yang digunakan untuk mendirikan rumah terbabit.

Ketika hari-hari terakhir bersama rumah itu, kedua-dua ibu bapanya dilihat asyik termenung semasa berada di rumah itu.

Pada akhir hantaran, Jihan bersifat positif dan menyatakan apa yang berlaku terhadap rumah dan keluarga memberikan hikmah yang tidak ternilai.

Melalui perkara ini, wanita itu menjelaskan bahawa keluarganya mendapat pengajaran berharga iaitu untuk lebih menghargai setiap kenangan yang dicipta ketika nyawa masih dikandung jasad.

Kredit: TikTok

BACA: Macam Beli Di Kedai, Rupa-rupanya Ni “Trick” Senang Ikat Plastik Lauk

Sumber: jihansukkie7 via TikTok

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma