Piala Asia B-23: Malaysia Kalah 0-2 Kepada Uzbekistan
DOHA — Malaysia tewas 0-2 kepada Uzbekistan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar malam ini.
Permulaan babak pertama, Harimau Muda bermula dengan baik menerusi sepakan bebas penyerang negara Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-2 namun sedikit melewati palang gol.
Bagaimanapun, kesilapan pemain pertahanan negara menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-11 selepas mengasari pemain lawan dalam kotak penalti.
Jasurbek Jaloliddinov tidak mensia-siakan peluang dengan membuka tirai gol perlawanan apabila mudah menewaskan penjaga gol Azim Al Amin sekaligus meletakkan Uzbekistan satu gol di hadapan.
Gol tersebut nyata mengubah corak perlawanan dengan menyaksikan skuad kendalian Timur Kapadze, semakin bernafsu untuk mencari gol sementara anak-anak buah Juan Torres Garrido terpaksa menyerap segala serangan daripada pihak lawan.
Penguasaan penuh ditunjukkan oleh Uzbekistan sehingga tamat separuh masa pertama dengan beberapa serangan yang hampir menggugat pintu gol negara.
BACA: Insiden Pulau Angsa: Kotak Hitam Helikopter Maritim Malaysia Ditemui
Masuk sahaja babak kedua, Malaysia cuba mencari gol penyamaan pada minit-minit awal namun buntu dengan pertahanan lawan berjaya menyerap serangan.
Minit ke-60 Haqimi Azim dimasukkan menggantikan Luqman bagi menambahkan ketajaman di barisan serangan termasuk membawa keluar kapten pasukan Mukhairi Ajmal.
Bagaimanapun, kesilapan pemain negara sekali lagi memakan diri apabila hantaran ke belakang yang kurang kemas dirampas pemain lawan sebelum ia dihukum dengan gol kedua perlawanan menerusi Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83.
Gol itu sekaligus meranapkan impian Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan dengan perlawanan berkesudahan dua gol tanpa balas.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-4 Kumpulan D dengan tiada mata manakala Uzbekistan di tangga teratas dengan 3 mata.