Siakap Keli

Polis Tahan Lelaki Disyaki Bunuh Bayinya Yang Baru Berusia Enam Bulan

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh anak kandungnya yang baru berusia enam bulan di sebuah pangsapuri di Beranang, Selangor, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohamad Nasir Drahman berkata lelaki berumur 25 tahun itu ditahan di perkarangan Unit Forensik Hospital Kajang pukul 11.30 malam pada hari hari yang sama.

Beliau berkata dalam kejadian Isnin lepas suspek membuat laporan polis pada pukul 8.52 pagi memaklumkan bayi itu tidak sedarkan diri di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan pada badan bayi itu, namun hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian kepala, yang bukan disebabkan oleh kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir berkata suspek yang didapati positif dadah jenis syabu direman sehingga 22 April ini untuk siasatan lanjut, dan kes diklasifikasikan sebagai kejadian bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes ASP S. Vekram di talian 019-4737108 bagi membantu siasatan.

Sumber: BERNAMA

Athirah

When nothing goes right, go left.