Siakap Keli
gunung ruang tsunami
Gambar: CNN

Gunung Ruang Meletus, Indonesia Keluar Amaran Potensi Tsunami

Gunung Ruang Meletus, Indonesia Keluar Amaran Potensi Tsunami

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia hari ini mengeluarkan amaran potensi tsunami selepas Gunung Ruang di Sulawesi Utara yang meletus semalam.

Susulan itu, penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan pantai di Pulau Tagulandang diingatkan untuk berjaga-jaga dan peka dengan sebarang amaran potensi tsunami yang dikeluarkan.

Menurut Kompas.com, ratusan warga yang menetap di Kepulauan Siau Tagulandang Biaro (Sitaro) juga telah dipindahkan ke pesisir timur Pulau Tagulandang yang dinilai lebih selamat ketika ini.

Beberapa situasi dimana letusan Gunung Ruang boleh sebabkan tsunami terjadi

Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BKMG, Daryono berkata, terdapat beberapa situasi yang boleh berlaku dimana letusan gunung berapi boleh menyebabkan tsunami.

“Potensi utama tsunami boleh berlaku berpunca daripada fenomena flank collapse, iaitu apabila runtuhnya sebahagian atau keseluruhan jasad gunung berapi tersebut, ” katanya.

Selain itu, letusan gunung berapi itu sendiri juga boleh menyebabkan tsunami iaitu apabila berlaku kontak antara magma dengan air atau kontak awan panas dengan permukaan air laut.

Berdasarkan rekod, letusan Gunung Ruang pada 1871 pernah mencetuskan kejadian tsunami setinggi 25 meter.

Terdahulu, Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral (KemenESDM) Indonesia turut menaikkan tahap aktiviti Gunung Ruang ke Tahap 4 (Awas).

Menurut Kompas.com lagi, keputusan untuk menaikkan tahap tersebut dibuat meneliti hasil pemantauan visual dan menggunakan instrumental menunjukkan peningkatan aktiviti gunung berapi di gunung tersebut.

Kejadian gempa turut dikesan di Gunung Raya

Dalam pada itu, data Badan Geologi mencatatkan letusan eksplosif Gunung Raya berlaku sebanyak lima kali dengan ketinggian 1,800 hingga 3,000 meter dari puncak setakat 17 April.

Letusan yang berlaku turut disertai dengan lontaran batu, luruhan awan panas, bunyi guruh dan juga kilat yang terhasil akibat aktiviti gunung berapi. Beberapa kejadian gempa bumi juga dicatatkan selepas itu.

Bagi tempoh 1 hingga 17 April, PVMBG merekodkan sebanyak 1,439 kali kejadian gempa bumi volkanik dalam dan 569 kali gempa bumi volkanik cetek di Gunung Raya.

Selain itu, enam kali kejadian gempa bumi tektonik tempatan dan 167 kali gempa bumi tektonik jauh turut direkodkan di gunung tersebut bagi tempoh yang sama.

BACA: Gunung Ruang Meletus, Ini senarai Penerbangan Air Asia KL-Tawau-KL, Tawau-KK-Tawau Yang Dibatalkan

BACA: Gunung Ruang Meletus, MAS Batal Penerbangan KL-Sabah/Sarawak-KL Pada 18 April

Sumber: Kompas.com, CNN Indonesia

Athirah

When nothing goes right, go left.