Siakap Keli
Perang Tidak Halang Rakyat Palestin Di Gaza Khatam Al-Quran Dalam Satu Hari
Sumber: ilmfeed via X

Disebalik Kesulitan, Penduduk Gaza Berkumpul Anjur Program Hafaz Al-Quran

Disebalik Kesulitan, Penduduk Gaza Berkumpul Anjur Program Hafaz Al-Quran

Walaupun berada dalam situasi tidak menentu dan serba kekurangan ketika ini, sebilangan besar penduduk di Gaza tetap ada kesempatan untuk menganjurkan sebuah program yang sangat istimewa.

Di sebalik apa yang berlaku, mereka meluangkan masa berkumpul beramai-ramai menunjukkan ketaatan kepada yang Maha Esa dalam satu program agama.

Menerusi video yang dikongsikan di laman X oleh @ilmfeed, pemuda-pemudi Gaza itu dilihat berkumpul dalam suasana mengharukan di sebuah pusat perlindungan bagi menganjurkan program hafaz Al-Quran.

Biarpun dalam kesulitan, penduduk Gaza sempat anjur program hafaz Al-Quran

 

Meskipun dikelilingi runtuhan bangunan dan tanah penuh debu, itu tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk menghafal dan membaca seluruh Al-Quran dalam satu hari.

Keadaan itu jelas menggambarkan keteguhan hati mereka dengan jalan agama biarpun apa jua badai yang melanda.

Menurut video berkenaan, program membaca dan menghafal Al-Quran dalam satu hari itu merupakan tradisi yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Pegang teguh pada Al-Quran adalah satu-satunya cara

“Saya mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menghafal Al-Quran. Allah SWT mudahkan Al-Quran untuk dihafal. Tidak ada yang dapat menghalang kita daripada menyemak kitab Allah dan mengesahkan pemeliharaannya.

“Berpegang kepada ajaran Al-Quran adalah satu-satunya cara menghadapi kesukaran. Sesiapa yang mencari kemenangan di luar Al-Quran, akan ditakdirkan untuk kekalahan,” ujar salah seorang peserta program itu.

Sementara itu, seorang peserta wanita berkongsi impiannya untuk berkumpul di Masjid Al-Aqsa satu hari nanti.

“Suatu hari nanti, kami di Palestin pasti akan berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk beribadah di sana. Dengan izin Allah, kami akan menjadi hamba-hambanya yang ikhlas dan dengan izin Allah kami akan menjadi penjaga kitab suci Al-Quran.

“Malah, ia penghormatan bagi kami di Gaza untuk mempertahankan maruah seluruh ummah dan berpegang teguh kepada kitab suci setiap masa,” ujarnya.

Menurut hantaran-hantaran oleh Safwat Al-Aqsa di platform X, program berkenaan dianjurkan di pelbagai lokasi di Gaza termasuk di Kem Jabalia pada 6 April lepas.

Setiap lokasi melibatkan penyertaan jumlah peserta yang berbeza-beza yang jumlahnya boleh mencecah ratusan orang.

 

BACA: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

Sumber: ilmfeed via X

Sharifah Hannah Adibah