Siakap Keli
penghantar makanan maut
Gambar: BERNAMA

Penghantar Makanan, Kanak-Kanak Dua Tahun Maut Dalam Kemalangan

Penghantar Makanan, Kanak-Kanak Dua Tahun Maut Dalam Kemalangan

Seorang penghantar makanan wanita dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan maut dalam kemalangan di Gombak.

Menurut Sinar Harian, nahas dilaporkan terjadi di Kilometer 10.2 Jalan Batu Caves menghala Selayang pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihak polis menerima laporan berkaitan insiden sekitar jam 8.30 malam.

Menurut beliau, ketika kejadian, mangsa menunggang sebuah motosikal dan membonceng seorang rakan dengan anaknya. Motosikal tersebut disyaki bergesel dengan sebuah kenderaan di lokasi kejadian sebelum terbabas.

Mangsa dan kanak-kanak itu kedua-duanya maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala. Rakan mangsa pula cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa berusia 29 tahun bersama kanak-kanak lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Sementara rakan mangsa berusia 23 tahun mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hospital Selayang,” kata beliau menerusi kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, orang ramai yang melihat atau memiliki maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan atau menghubungi ibu pejabat polis daerah Gombak di talian 03-61262222.

BACA: Jururawat Masih Lengkap Beruniform Ditemui Tidak Sedarkan Diri Tepi Jalan

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah