Siakap Keli
kanak-kanak gaza maut
Gambar: AFP

Seorang Kanak-Kanak Maut Setiap 10 Minit Di Gaza, Kata UNRWA

Seorang Kanak-Kanak Maut Setiap 10 Minit Di Gaza, Kata UNRWA

ISTANBUL, (Bernama) — Seorang kanak-kanak maut setiap 10 minit di Semenanjung  Gaza, menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA)

“Amat menyedihkan sejumlah kanak-kanak juga cedera di tengah-tengah serangan berterusan tanpa mengira sasaran,” katanya dalam hantaran di X, menurut Agensi Anadolu.

“Satu gencatan senjata segera adalah harapan terakhir yang tinggal,” kata UNRWA.

Mayat Rakyat Palestin Ditemukan Daripada Kubur Besar 

Pentadbiran Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza berkata pada lewat Sabtu bahawa jasad 50 warga Palestin yang dibunuh Israel ditemukan daripada sebuah kubu besar di selatan Wilayah Khan Younis.

“Pasukan kami di Khan Younis menemukan 50 jasad mereka yang mati syahid daripada pelbagai lapisan umur yang dikumpulkan Israel dan ditanam beramai-ramai di Hospital Nasser,” lapor Anadolu yang memetik kenyataan yang dikeluarkan pihak pertahanan awam Palestin.

Kenyataan itu menekankan masih terdapat mayat dalam kubur besar dan di bawah runtuhan, sambil menambah pasukan pertahanan awam akan terus mencari dan mengeluarkan mayat berkenaan.

Israel mengumumkan pengundurannya dari Khan Younis pada 7 April dan operasi Israel itu mengakibatkan kerosakan jalan raya, kediaman dan infrastruktur.

BACA: Kuasa Viral, Gadis Bertemu Semula Rakan Tadika Setelah Lebih 15 Tahun

Tanpa mempedulikan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Israel meneruskan serangannya ke atas Gaza dan mengakibatkan 34,049 warga Palestin maut kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta 76,901 lagi cedera sejak 7 Oktober lepas, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Serangan Israel itu telah mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain daripada menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut sementara 60 peratus daripada infrastruktur kawasan itu sama ada rosak ataupun musnah.

Serangan masih berterusan dan penghantaran bantuan masih tidak mencukupi untuk menangani krisis kemanusiaan itu.

Lebih Banyak Trak Bantuan Mesti Dibenarkan Masuk ke Gaza  

Pejabat Media Gaza berkata sekurang-kurangnya 3,814 trak bantuan kemanusiaan telah memasuki Semenanjung Gaza sejak awal April, lapor Anadolu.

“Jumlah trak yang memasuki Gaza sejak awal April sehingga sekarang ialah 3,814, atau puratanya 200 trak sehari,” kata Ketua Pejabat Media itu Salama Marouf dalam satu kenyataan.

Beliau menyeru kumpulan hak asasi manusia dan antarabangsa untuk memberi tekanan kepada pentadbiran AS, Israel dan semua pihak berkaitan untuk membuka sempadan Rafah dan semua laluan masuk ke Gaza dan membenarkan 1,000 trak bantuan masuk sehari bagi menyelamatkan penduduk di Gaza.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?