Siakap Keli
sheriff rm16.3 juta
Kredit: Astro Shaw / Facebook

Sheriff Raih Kutipan RM16.3 Juta Selepas Lima Hari Tayangan

Sheriff Raih Kutipan RM16.3 Juta Selepas Lima Hari Tayangan

Salah satu filem yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia, Sheriff telah berjaya mencapai jumlah kutipan mencecah RM16.3 juta ringgit dalam beberapa hari tayangannya di pawagam.

Berita ini telah dimaklumkan pihak Astro Shaw menerusi hantarannya di Facebook (Astro Shaw Sdn Bhd) hari ini.

Jelasnya, filem itu telah mencapai jumlah kutipan sebanyak RM16.3 juta, walaupun baru ditayangkan selama empat hari dan satu hari tayangan awal di pawagam tempatan bermula 18 April lalu.

Dalam pada itu, pengarah Sheriff iaitu Syafiq Yusof mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh para penonton.

“Alhamdulillah. Filem Sheriff dah capai RM16.3 JUTA! Jutaan terima kasih semua atas sokongan korang!

“Untuk yang masih tak join lagi DemamSheriff tu, jom kita serbu panggung ramai-ramai tengok filem Sheriff!” jelasnya.

Terlalu awal untuk meletakkan harapan yang tinggi pada Sheriff

Menurut laporan Sinar Harian, pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Bersama Sheriff, Datuk Yusof Haslam mengatakan pihaknya bersyukur dengan sambutan positif.

Sungguhpun begitu, beliau merasakan merasakan masih terlalu awal untuk meraikan dan meletakkan harapan tinggi terhadap filem ini.

“Syukur alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan filem Sheriff.

“Pihak kami bersama barisan pelakon ada mengunjungi pawagam-pawagam di sekitar Lembah Klang pada hujung minggu lalu, dan rasa amat teruja serta terharu melihat reaksi luar jangkaan penonton daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

“Meskipun rakan-rakan media serta peminat mula berteka-teki mengenai sejauh mana kutipan Sheriff, namun masih terlalu awal untuk meletak harapan tinggi dan kami sentiasa bersyukur dengan momentum positif ini.

“Terima kasih kepada semua atas sokongan terhadap filem ini,” ujarnya dalam laporan Sinar Harian hari ini.

Untuk makluman, Sheriff berkisarkan kisah seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang bernama Nazri. Beliau merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Walau bagaimanapun, Tony sering terlepas daripada cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Perkara ini menyebabkan Nazri berasa terdesak dan bertindak untuk menyelesaikan kes itu dengan tangannya sendiri.

Dalam masa yang sama, Sheriff, seorang anggota dari Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’. Beliau telah ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, anda berpeluang untuk menemui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 27 dan 28 April.

Sheriff merupakan filem arahan Syafiq Yusof yang membariskan beberapa pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Dato Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.

Selain itu, filem tersebut merupakan hasil kerja bagi dua penerbit terkemuka iaitu Skop Productions bersama Astro Shaw.

BACA: Abu Al Sebaa, Lelaki Pemurah Tawar Makanan Percuma Kepada Jemaah Di Madinah Meninggal Dunia

Sumber: Astro Shaw Sdn Bhd via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma