Siakap Keli
harimau muda qatar
Gambar: FAM

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) — Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menutup kempen Piala Asia B-23 2024 tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Kuwait pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub di Al Wakrah, Qatar awal pagi ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido  menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata susulan tewas 0-2 masing-masing di tangan Uzbekistan dan Vietnam dalam dua aksi pertama.

Pada aksi berdepan Kuwait, rentak skuad Harimau Muda terjejas apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama susulan mengasari kapten Kuwait Salman Mohammed di luar kotak penalti.

Penyerang Luqman Hakim Shamsudin terpaksa dikorbankan oleh Garrido dengan membawa masuk penjaga gol gantian Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil bagi mengisi kekosongan di gawang yang terpaksa ditinggalkan Sikh Izhan.

Bagaimanapun, Malaysia ketinggalan di penghujung tambahan masa babak pertama yang berlanjutan sehingga 15 minit menerusi penalti yang disempurnakan Salman selepas Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan dipersalahkan kerana mengasari Talal Al Qaisi hasil semakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

BACA: Kronologi Kejadian Helikopter Terhempas Di Malaysia Sejak 2015

Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan buat Malaysia pada minit ke-56 apabila gagal menyudahkan hantaran lintang Muhammad Haqimi Azim Rosli sebelum Muhammad Firdaus menyelamatkan percubaan satu lawan satu berdepan Salman pada minit ke-59.

Namun, seminit kemudian Malaysia semakin tertekan apabila pasukan lawan kendalian Emilio Peixe berjaya melebarkan kedudukan selepas Talal menanduk masuk hantaran lintang Sultan Al Faraj.

Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, Salman diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil Alexander King dari Australia susulan terjahan keras ke atas Muhamad Umar Hakeem pada minit ke-83 sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa menamatkan aksi dengan 10 pemain.

Kedudukan kekal 2-1 berpihak Kuwait sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus membolehkan anak buah Peixe memintas Malaysia untuk menamatkan saingan Kumpulan D di kedudukan ketiga dengan mengumpul satu mata, namun tetap gagal layak ke suku akhir.

Pada edisi 2022 di Uzbekistan, skuad Harimau Muda turut gagal mencatat sebarang kemenangan dalam aksi kumpulan selepas mencipta sensasi mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

Dalam pada itu, Uzbekistan melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan D apabila menewaskan pasukan yang turut mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati, Vietnam 3-0 pada satu lagi aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?