Pemakluman Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor

1.Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan tarikh Hari Penamaan Calon (HPC) PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 27 April 2024 (Sabtu).
2.Pada HPC, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan dari pukul 9:00 pagi sehingga 10:00 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor oleh pihak-pihak seperti berikut:
a) calon, pencadang dan penyokong; atau
b) mana-mana dua (2) orang daripada mereka; atau
c) mana-mana seorang daripada mereka.
3.Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum HPC.
4.Selain itu, bakal-bakal calon disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran.
5.Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon.
6.Setiap bakal calon yang hadir ke PPC hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC. Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada HPC dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].
7.Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.
8.Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang / simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan / komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.
9.SPR menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar.
Sekian, terima kasih.