Siakap Keli
farah ain juara dunia
Gambar: Stadium Astro

Boling Padang: “Saya Bukan Lagi Jaguh Kampung”, Farah Ain Muncul Juara Dunia

Boling Padang: “Saya Bukan Lagi Jaguh Kampung”, Farah Ain Muncul Juara Dunia

Nor Farah Ain Abdullah membuktikan impiannya untuk berdiri di puncak dunia bukanlah sekadar ‘cakap kosong’ selepas berjaya merangkul pingat emas perseorangan wanita di Kejohanan Boling Padang dalam Dewan Dunia, Guernsey, lapor Stadium Astro.

Farah dengan mudah mengetepikan cabaran naib juara Kejohanan Dunia Gold Coast 2023, Connie Rixon dari Malta dengan keputusan 6-2 dan 6-3.

Gambar: Stadium Astro

“Alhamdulillah, terima kasih kepada jurulatih (Zuraidi Puteh) yang sentiasa berada di belakang, sokong saya dan juga Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) dengan memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa pulang emas.

“Saya bukan lagi jaguh kampung, saya telah buktikan, demi Malaysia,” katanya.

Kejayaannya turut dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi.

Dalam kenyataan tersebut, Hannah menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan atlet itu menempa nama di persada dunia.

Gambar: Hannah Yeoh

Walau bagaimanapun, nasib yang berbeza pula dilalui oleh teman seperjuangan, Izzat Shameer Dzulkeple apabila terpaksa melepaskan pingat emas kepada wakil tuan rumah, Jason Greenslade.

Meskipun gagal membawa pulang pingat emas untuk negara, Izzat tetap bersyukur merangkul pingat perak di kejohanan tersebut kerana tiga percubaan secara peribadi sebelum ini gagal.

“Syukur kami dapat bawa pulang tiga pingat dalam kesemua kategori, dan selepas tiga percubaan akhirnya saya dapat membawa pulang pingat, dan tahniah kepada Farah atas pingat emas dalam acaranya,” ujar Izzat.

BACA: Hampir Menang Setiap Peraduan, Lelaki Kongsi Hadiah Hasil Sertai “Contest” Raih Perhatian Ramai

Dalam perkembangan lain, gandingan Izzat dan Farah dalam kategori berpasangan campuran juga merangkul pingat gangsa buat Malaysia.

Kedua-dua mereka tewas di peringkat separuh akhir kepada atlet dari Australia, Ray Pearse dan Samantha Atkinson yang juga juara bagi kategori tersebut sebelum meraih tempat ketiga.

Malaysia muncul sebagai negara terbaik dalam kejohanan berkenaan, selepas membawa pulang tiga kilauan pingat.

Sumber: Stadium Astro

BACA JUGA: Remaja Sanggup Berjalan Kaki Tiga Jam Ke Masjid Demi Pelajari Islam

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?