Siakap Keli
Gambar: KPDNKSH

OPS PANTAU 2024 : Masih Ramai Peniaga Bermusim Tidak Letak Tanda Harga

OPS PANTAU 2024 : Masih Ramai Peniaga Bermusim Tidak Letak Tanda Harga

PUTRAJAYA, 30 APRIL 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan  Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan OPS PANTAU 2024 bermula 12 Mac 2024 dan berakhir pada 9 April 2024 lalu bagi memastikan  pematuhan oleh peniaga sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian.

OPS PANTAU 2024 dilaksanakan di seluruh Negara di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah,  pasar raya, pasar raya besar, pasar raya mini dan kedai runcit selain usaha berterusan melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang tidak munasabah (mencatut) oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika.  

Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah OPS PANTAU 2024 sebanyak  42,697 premis telah diperiksa di seluruh Negara. Daripada jumlah itu,  sebanyak 169 kes telah dihasilkan manakala sebanyak 2,450 premis yang  telah diperiksa adalah melibatkan Bazar Aidilfitri.

Selain itu, sebanyak  1,446 aduan pengguna telah diterima dalam tempoh yang sama melibatkan  pelbagai kategori aduan. Antara kesalahan yang dikesan adalah kegagalan  meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan  menjual barang-barang tiruan.  

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan selepas pelaksanaan OPS PANTAU  2024 mendapati, peniaga-peniaga bermusim yang kebanyakannya hanya berniaga pada bulan Ramadan, gagal mematuhi sepenuhnya perundangan yang dikuatkuasakan terutamanya dalam aspek meletakkan tanda harga pada  barangan yang dipamerkan untuk jualan.

Walau bagaimanapun, KPDN juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada majoriti peniaga yang telah memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan OPS PANTAU 2024 dan berharap agar  pematuhan undang-undang yang dikuatkuasakan Kementerian terus diamalkan.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku  peniaga boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut: 

1.WhatsApp iaitu 019-848 8000 / 019-279 4317;

2.Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;  iii. Call Centre 1-800-886-800; dan

3.Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN;

Nurul Naqiyah