Siakap Keli

Agrobank Taja Biasiswa Ke IPTA Sebanyak RM221,000 Kepada Lima Pelajar Cemerlang

Agrobank Taja Biasiswa Ke IPTA Sebanyak RM221,000 Kepada Lima Pelajar Cemerlang

KUALA LUMPUR, 6 MEI 2024 – Biasiswa sebanyak RM221,000 dianugerahkan oleh Agrobank hari ini kepada lima orang pelajar cemerlang yang sedang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tempatan. Biasiswa ini telah diperkenalkan sejak tahun 2013 dengan tujuan memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang memenuhi syarat dan memiliki rekod akademik yang baik. Agrobank telah menaja 44 pelajar di seluruh negara setakat tahun 2023.

Penerima biasiswa terdiri daripada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan Sains Komputer, Sistem Maklumat, Perakaunan, Sains Statistik dan Ekonomi di universiti tempatan termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM).

agrobank biasiswa
Dari kiri: Muhammad Afiq Iskandar (Penerima biasiswa), Aqil Danish (Penerima biasiswa), Datuk Yunos Abd Ghani (Pengerusi Agrobank), Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank), Nurfatini Aishah (Penerima biasiswa), Ali Haikal (Penerima biasiswa), Nur Aishah Syamimi (Penerima biasiswa)

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata ketika di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Agrobank, “Penerima biasiswa yang hadir bersama-sama kita pada hari ini adalah generasi harapan bangsa. Mereka merupakan pelaburan terpenting untuk memimpin negara demi menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan di masa hadapan.”

Biasiswa yang ditawarkan adalah sebahagian usaha Agrobank dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi memastikan para pelajar mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti. Tajaan biasiswa ini menyediakan peluang kepada para pelajar untuk menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dirangka bagi menggalakkan mereka membina rangkaian professional bersama pihak Agrobank serta menyokong aspirasi kerjaya mereka,” tambah beliau.

Katanya juga “Didikan yang berkualiti bukan sahaja menumpukan kepada kebolehan para pelajar dari segi pembelajaran teori, tapi mampu memupuk dan melahirkan insan yang mempunyai sahsiah diri yang baik. Pembentukan akhlak diri yang baik adalah pelengkap kepada individu tidak kiralah setinggi mana pendidikan dan kejayaan yang dicapai.”

Nurul Naqiyah