Siakap Keli

Pekebun Kecil Sawit Digalak Sertai SPOC, Laksanakan MSPO

Pekebun Kecil Sawit Digalak Sertai SPOC, Laksanakan MSPO

KUALA KUBU BHARU, 7 Mei 2024 – Kerajaan serius menggalakkan pekebun kecil sawit persendirian untuk menyertai Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) bagi memudahkan pelaksanaan amalan pertanian baik (GAP), seterusnya Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di kebun masing-masing.

Pematuhan kriteria MSPO itu dapat memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diterima di peringkat antarabangsa.

Ia antara inisiatif Kerajaan dalam menangani cabaran perdagangan minyak sawit global yang terkesan dakwaan mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan menjadi ancaman kepada habitat hidupan liar. 

pekebun kecil sawit spoc

Justeru, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengambil inisiatif menganjurkan Program Bersama Pekebun Kecil di Kuala Kubu Bharu untuk memberi penerangan amalan pertanian baik kepada pekebun kecil setempat yang mengusahakan tanaman sawit serta kepentingan memiliki Pensijilan MSPO.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata penerangan ini sangat penting untuk memastikan penanam sawit yang terdiri daripada pekebun kecil, dapat melaksanakan penanaman semula sawit bagi menggantikan pokok yang tidak lagi produktif. 

“Pengeluaran minyak sawit Malaysia secara mampan adalah sangat penting bagi memperluaskan pasaran di seluruh dunia dan memperkukuhkan imej industri sawit negara.

“Di samping itu, pekebun kecil sawit dapat menghasilkan buah tandan segar yang berkualiti tinggi dan secara langsung meningkatkan kadar perahan minyak (OER) dengan pelaksanaan pengeluaran minyak sawit mampan. 

“Justeru, pelaksanaan Pensijilan MSPO adalah untuk memastikan industri sawit negara yang mampan dan berdaya saing, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit,” katanya semasa Program YB Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Bersama Pekebun Kecil Sawit, di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

pekebun kecil sawit spoc

Sehingga 30 April 2024 pelaksanaan MSPO bagi Pekebun Kecil Persendirian di bawah seliaan MPOB telah berjaya mempersijilkan 162 SPOC (termasuk 11 di Selangor) melibatkan 150,705 orang pekebun kecil dengan keluasan kebun 541,134.48 hektar. Seramai 7,472 orang pekebun kecil sawit di kawasan berkeluasan 11,485.60 hektar di Selangor telah dipersijilkan MSPO sehingga 30 April 2024.

Di Selangor, Datuk Chan berkata, pekebun kecil boleh mendapatkan khidmat nasihat di tiga pejabat MPOB iaitu di Pejabat Bangi, Pejabat Kuala Selangor dan di Stesen Penyelidikan MPOB Bagan Datuk.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan sudah memperuntukkan sejumlah RM100 juta dana bagi pelaksanaan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 bagi tahun 2024, untuk dimanfaatkan pekebun kecil sawit di negara ini.

Beliau berkata, penyaluran dalam bentuk geran padanan (matching-grant) kepada pekebun kecil persendirian ini akan diurus sepenuhnya oleh pihak Agrobank.

“Skim ini dijangka akan memanfaatkan 1,500 orang pekebun kecil sawit persendirian dengan sasaran penanaman semula sawit sebanyak 5,900 hektar,” katanya.

pekebun kecil sawit spoc

Dana disediakan itu terdiri daripada komponen geran (50%) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50%) kepada pekebun kecil persendirian. Bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50% (termasuk 2% faedah) daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan.

Pada masa sama, Datuk Chan berkata, sehingga 30 April 2024, sebanyak dua (2) permohonan sudah diluluskan di Hulu Selangor, membabitkan kawasan berkeluasan 2.6 hektar tanaman sawit.

Sehubungan itu, beliau menyeru pekebun kecil di seluruh negara, khususnya di kawasan Hulu Selangor, untuk dapat menggunakan dengan sebaiknya bantuan disediakan Kerajaan bagi meningkatkan semula potensi pendapatan pekebun kecil sawit melalui program penanaman semula pokok sawit yang sudah tua.

Katanya, pekebun kecil boleh mendapatkan maklumat mengenai permohonan TSPKPS 2.0 di pejabat-pejabat TUNAS MPOB, secara dalam talian di laman sesawang MPOB atau di cawangan Agrobank di seluruh negara.

Sementara itu, Datuk Chan berkata, Kementerian melalui MPOB juga telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di seluruh negara, bertujuan menyatukan pekebun kecil sawit bagi pelaksanaan amalan pertanian baik untuk Pensijilan MSPO dan aktiviti ekonomi  melalui jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok terus ke kilang. 

Beliau berkata, dua (2) KPSM sudah ditubuhkan di Selangor membabitkan 109 keahlian. 

Selain itu, Datuk Chan berkata, pengenalan Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) yang membabitkan penanaman tanaman kontan seperti pisang, jagung, tembikai, betik, nanas, serai dan cendawan bersama sawit serta Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) antara usaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian. 

Sehingga 30 April 2024, sebanyak 33 projek integrasi ternakan telah diluluskan di negeri Selangor, termasuk 24 projek ternakan ayam dan empat (4) projek ternakan itik di daerah Hulu Selangor.

 

Nurul Naqiyah