Siakap Keli
lelaki oku maut
Gambar: Bernama

Lelaki OKU Maut, Ibu Cedera Dalam Kejadian Samun

Lelaki OKU Maut, Ibu Cedera Dalam Kejadian Samun

BUKIT MERTAJAM, 8 Mei (Bernama) — Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia dengan keadaan kaki dan tangan diikat manakala mulut disumbat kain dalam kejadian samun di kediaman keluarganya di Guar Perahu, Kubang Semang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata mangsa yang berusia 40-an itu merupakan OKU bisu dan ibunya turut diikat dalam bilik berasingan di rumah tersebut selepas suspek memecah masuk kediaman berkenaan.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.36 pagi daripada seorang lelaki berusia 80-an, yang memaklumkan rumahnya dalam keadaan berselerak dan mengesyaki disamun, manakala anaknya tidak sedarkan diri.

“Warga emas itu memaklumkan sebaik memeriksa bilik isterinya mendapati wanita berusia 70-an tersebut diikat tangan dan kaki menggunakan kabel pengikat sementara mulut disumbat dengan kain dan ditampal pelekat hitam, serta mengalami luka di jari kanan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

BACA: Akhyar Rashid Cedera, Dipercayai Jadi Mangsa Samun

Beliau berkata lelaki itu kemudian memeriksa bilik anak lelakinya sebelum mendapati tangan serta kaki anaknya turut diikat, mulut disumbat dengan kain serta ditampal pelekat hitam dan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai.

Helmi berkata mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bukit Mertajam yang membuat pemeriksaan di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Menurutnya siasatan lanjut mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan dua lelaki yang bersenjatakan parang dan memecah masuk rumah tersebut sebelum bertindak mengikat dua mangsa seterusnya menggeledah bilik serta mengambil wang tunai dan sebuah televisyen.

Susulan kejadian itu, beliau berkata polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an bagi membantu siasatan dan semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah

Menurut Helmi usaha mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story