Insiden Pokok Tumbang Jalan Pinang: Kereta KM Melaka Nyaris Dihempap Pokok
Hujan lebat dan angin kuat yang menyebabkan sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang nyaris menimpa kenderaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, jam 3.26 petang pada Isnin.
Meskipun pokok terbabit tidak mengenai kenderaan yang dinaiki oleh Ab Rauf, tetapi ia menimpa kereta pengiring polis jenis Proton X70 yang berada di hadapan sekali.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian tersebut dan menerima laporan mengenai pokok yang tumbang tersebut.
Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku berhadapan dengan Kuwait Bank dan hampir menimpa kenderaan Ketua Menteri Melaka yang mempunyai urusan kerja di Kuala Lumpur.
“Kita sahkan ada kejadian yang berlaku dan tular tersebut.
“Sebarang perkembangan terkini kita akan maklum,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kejadian tersebut yang telah tersebar di media sosial, memaparkan gambar pokok yang tumbang sebelum menimpa beberapa kenderaan.
Jelas Rusdi, tiga kereta awam dan lima motosikal, termasuk sebuah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi konvoi kereta pengiring Ketua Menteri Melaka, terlibat dalam kejadian tersebut.
BACA: Kereta Dihempap Pokok Tumbang Di Kuala Lumpur
Dalam pada itu, Pegawai Media Ketua Menteri Melaka, Shahnor Samsudin menjelaskan bahawa semasa kejadian, rombongan Ab Rauf yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara sedang melalui kawasan tersebut untuk menghadiri satu urusan rasmi di ibu kota.
“Kejadian pokok tumbang berlaku depan mata. Lokasi di Jalan Pinang berhampiran KLCC, hampir kena kereta bos (Ab Rauf),” ujarnya.
Menurut beliau, anggota dalam kenderaan itu selamat, tetapi cermin belakang kereta pengiring pecah dan bahagian belakang kereta itu kemek.
Tambahnya, sebelum kejadian, beliau dan pegawai-pegawai lain dalam kenderaan mendengar bunyi kuat seolah-olah sesuatu mahu jatuh dan tumbang.
“Kebetulan ketika kejadian saya dan pegawai lain memang sedang berborak tentang pokok tumbang sebab keadaan masa tu memang hujan yang sangat lebat.
“Sekelip mata sahaja betul-betul jadi depan mata dan terkena kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire warna merah depan kami.
“Bagaimanapun, kenderaan itu bukan salah satu daripada rombongan kami,” katanya.
BACA JUGA: Bekas Wartawan Melodi TV3, Ayau Meninggal Dunia
Sumber: Sinar Harian