Siakap Keli
Akhyar Rashid Kembali latihan
Gambar: BERNAMA

Akhyar Rashid Kembali Jalani Latihan Ringan Di Padang

Akhyar Rashid Kembali Jalani Latihan Ringan Di Padang

KUALA NERUS, 15 Mei (Bernama) — Pasukan Terengganu FC (TFC) boleh menarik nafas lega apabila pemain sayap lincah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid atau Akhyar Rashid, kembali menyertai rakan sepasukan menjalani latihan petang semalam.

Pemain berusia 25 tahun yang hampir pulih sepenuhnya itu mula menjalani latihan ringan setelah berehat selama dua minggu akibat kecederaan dialaminya selepas dipukul dan disamun sehingga menyebabkan beliau menerima empat jahitan di kepala dan dua kaki selain kerugian hampir RM5,000.

Walaupun mengakui masih trauma, beliau yang mesra dipanggil Mat Yat itu tetap tidak sabar untuk turun beraksi dalam perlawanan Liga Super yang telah membuka tirainya pada 11 Mei lepas.

“Saya rasa dua tiga hari lagi dah boleh pulih sepenuhnya. Jahitan di kaki mungkin dibuka esok.

“Hari ini (petang semalam) buat latihan ringan sahaja untuk dapat balik keyakinan dan panaskan badan. Dua tiga hari lagi baru buat latihan penuh untuk dapat balik kecergasan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak.

BACA: Kes Langgar: Pegawai Kanan Polis Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Pelajar

Pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat sukan bola sepak tanah air yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat selain turut mendoakan kesihatannya kembali pulih.

Beliau berkata sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak menjadi penguat semangat untuk pemain kelahiran Kedah itu pulih dan melupakan peristiwa malang yang menimpanya awal bulan ini.

“Sejujurnya trauma masih ada sikit lagi. Tetapi insya-Allah dengan sokongan rakan-rakan, keluarga dan penyokong saya boleh sihat semula.

“Saya juga harap insiden ini tak berulang dan menimpa orang lain. Setakat ini tidak ada perkembangan berkaitan kes itu. Saya serah sepenuhnya kepada polis untuk ambil tindakan,” katanya yang bersedia  diturunkan untuk aksi menentang Penang FC Ahad depan.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?