Siakap Keli
mesyuarat majlis sains negara
Sumber : BERNAMA

Mesyuarat Majlis Sains Negara Bilangan 1 Tahun 2024

Mesyuarat Majlis Sains Negara Bilangan 1 Tahun 2024

PUTRAJAYA, 14 Mei 2024 – Mesyuarat Majlis Sains Negara pertama bagi tahun 2024 pada hari ini dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan  Perdana Menteri. Mesyuarat ini membincangkan pelbagai usaha Kerajaan dalam  memartabatkan lagi bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) berteraskan nilai-nilai  MADANI. 

Mesyuarat pada kali ini memberi fokus kepada pengukuhan mekanisme handshake untuk  memastikan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R,D,C,I) yang  berimpak tinggi serta berpacukan keperluan negara dan rakyat. Mesyuarat ini telah  meluluskan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan  dan Ekonomi Negara (RDICE); mengandungi tiga (3) teras, enam (6) strategi dan 20 pelan tindakan.

Strategi Pelan Hala Tuju RDICE bakal memanfaatan rangkaian hab  inovasi global, menggalakkan penggunaan indeks pengukuran tahap teknologi,  pengenalan konsep Return on Value (ROV), memprofilkan institusi penyelidikan dan  mengiktiraf kepentingan Technology Transfer Officer (TTO). Pelaksanaan Pelan Hala  Tuju RDICE adalah secara berperingkat mulai tahun 2024 sehingga 2030 dan dijangka  menyumbang RM9.21 trilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara  menjelang tahun 2030.

Mesyuarat bersetuju supaya semua pihak berkepentingan perlu  berkongsi data dan maklumat berkaitan penyelidikan dan pembangunan masing-masing  untuk diselaraskan dalam satu platform ekosistem induk R&D negara bagi  memaksimakan potensi R&D dan pengkomersialan negara.

Majlis Sains Negara juga telah bersetuju dengan konsep Pemerkasaan Ekonomi Biru untuk mewujudkan kemampanan ekonomi lautan yang terhasil melalui keseimbangan  aktiviti ekonomi, dengan kapasiti ekosistem lautan yang berdaya tahan dan sejahtera. 

Ekonomi Biru yang lestari dan berinovasi mampu menjana pulangan nilai daripada sektor  marin dan maritim negara dengan potensi peningkatan sumbangan sumber marin dan  lautan kepada KDNK negara daripada 21.3% kepada 31.5% pada tahun 2030, dengan  penglibatan 13 kementerian/ agensi kerajaan berkaitan. Mesyuarat juga bersetuju supaya  penyelarasan secara bersepadu diterajui oleh Kementerian Ekonomi (KE) agar dapat  meneruskan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kerajaan  Negeri. 

Majlis Sains Negara turut mengambil maklum mengenai kepentingan Malaysia untuk  membangunkan teknologi dan kepakaran tempatan bagi mewujudkan Ekosistem Industri  Bahan Termaju Unsur Nadir Bumi (REE), yang mampu menyumbang sebanyak RM9.5  bilion kepada KDNK.

Selain itu, pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah  membangunkan Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia 2020 (MyTripGen 2020), sebagai dokumen rujukan pengamal kejuruteraan trafik dalam membuat unjuran  penjanaan trafik, berdasarkan cadangan pembangunan guna tanah baharu atau  tambahan di sesuatu kawasan. 

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, mesyuarat NSC  kali ini memberi penekanan kepada pembangunan bakat STIE berkemahiran tinggi bagi  memenuhi keperluan industri, seiring dengan fokus negara ke arah penerokaan dan  pembangunan industri high growth high value (HGHV).  

Tambah beliau, NSC mencerminkan usaha bersepadu kerajaan Malaysia MADANI  melalui kerjasama pelbagai Kementerian dan Agensi atau Whole of Government  Approach bagi menangani cabaran semasa dengan lebih berkesan demi kesejahteraan  rakyat.

MOSTI akan terus memperkukuh Majlis Sains Negara sebagai platform bagi menetapkan  hala tuju dan dasar STI negara melalui penglibatan kerajaan, industri dan akademia  dalam strategi pembangunan negara, di samping mengenalpasti bidang-bidang sains,  teknologi dan inovasi yang berpotensi untuk diteroka bagi pelaburan berimpak tinggi. 

 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.