Tak Ganggu Aliran Trafik, Ketahui Apa Itu Jambatan ASTRA
Jambatan merupakan satu struktur laluan yang menghubungkan dua jalan yang terpisah atau menyeberangi jurang seperti kawasan sungai, bangunan, jalan dan banyak lagi.
Kebiasaannya, strukur binaan ini dibina di kawasan tertentu sahaja dan tidak dapat diubah ke kawasan lain.
Seiring dengan kemajuan teknologi pembangunan, kita dapat melihat pelbagai inovasi yang dibina berdasarkan jambatan seperti jambatan terangkat, jejantas, jejantas dan jejambat.
Tetapi, pernah tak anda membayangkan sebuah jambatan sementara direka khas untuk digunakan kenderaan sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilakukan?
Sebenarnya ia wujud dan telah diaplikasikan di negara Switzerland, bahkan baru-baru ini tular satu video mengenai jambatan berkenaan di media sosial.
Jadi, jom ketahui dengan lebih lanjut mengenai jambatan mudah alih (bergerak) ini di bawah.
Jambatan ASTRA

Jambatan mudah alih atau lebih dikenali sebagai ASTRA ialah jambatan tapak pembinaan mudah alih yang direka khas untuk digunakan sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan di lebuh raya.
Secara ringkasnya ia menjadi laluan alternatif sewaktu kerja-kerja pembaikan dilakukan di bawah jambatan tanpa memerlukan pembinaan struktur tambahan.
BACA: Kenali Ikonik Negara, Stadium Merdeka Yang Bakal Dibuka Semula Pada Tahun Ini

Perkara ini membolehkan pekerja melakukan kerja-kerja ini pada siang hari tanpa penutupan lalu lintas dan lencongan.
Pembinaan jambatan ASTRA ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna dan pekerja tapak pembinaan, malah ia juga menjimatkan masa pekerja di mana cuaca tidak lagi menjadi penghalang untuk merek bekerja.
Oleh itu, tiada gangguan bunyi pada waktu malam yang boleh mengganggu penduduk setempat.
Tambahan lagi, ia boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas termasuk tidak mengurangkan lebar lorong atau mengurangkan kelajuan.
Ciri-ciri

Jambatan ASTRA menyediakan dua lorong dan kenderaan boleh menggunakannya pada had laju 60 kilometer sejam (km/j) bergantung pada trafik.
Struktur ini mempunyai panjang keseluruhannya 236 meter dengan kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan di bahagian bawah jambatan sepanjang 100 meter.
Kemudiaan ia akan bergerak sekitar 100 meter jauh untuk proses yang sama secara berulang.
Pada 2022, jambatan ini beroperasi buat kali pertama di Lebuhraya A1, Recherswil–Luterbach (SO). Ia digunakan selama dua minggu untuk penyelenggaraan jalan di lebuh raya itu.
Pemasangan Jambatan ASTRA

Jambatan ini bagaimanapun memerlukan bantuan trak, treler dan kren untuk kerja pemasangan dan peleraian.
Menurut Pejabat Jalan Persekutuan Switzerland (FEDRO), Jambatan ASTRA adalah alternatif terbaik dalam penyelenggaraan jalan.
“Jambatan ASTRA bukan sahaja memastikan aliran trafik berjalan lancar, tetapi ia juga dapat mengasingkan kawasan penyelenggaraan dan laluan trafik termasuk memastikan keselamatan pekerja sewaktu bekerja,” kata badan berkenaan.
Oleh kerana jambatan tersebut mempunyai kebaikan kepada kedua-dua pihak, FEDRO merancang untuk menggunakan alternatif itu pada projek jalan lain di negara tersebut termasuk di Zurich pada tahun ini.
Tonton video di bawah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jambatan itu.
Sumber: ASTRA Bridge, Intermodal news