Siakap Keli
warga emas trauma pokok tumbang
Sumber: Sinar Harian

Warga Emas Trauma, Pokok Tumbang Hempap Kereta Dipandu

Warga Emas Trauma, Pokok Tumbang Hempap Kereta Dipandu

Seorang lelaki warga emas terselamat apabila kereta dipandunya yang dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Datuk Kumbar pada Khamis.

Mangsa, Ismail Yaakob, 61 berkata, dia sangat bersyukur kerana berjaya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, dia pada awalnya terperangkap dalam kereta namun berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, pak cik sedang berhenti di simpang untuk meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Derga.

“Namun, secara tiba-tiba pak cik dengar jeritan kuat dari kedai makan berhampiran disusuli dentuman kuat pokok, lalu terus keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ismail menjelaskan bahawa dia hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa untuk menyelamatkan keretanya yang rosak teruk.

Dia merasa sedih kerana kereta Kancil kesayangannya mengalami kerosakan yang serius, dengan bahagian atas remuk dan cermin kereta pecah teruk.

“Walaupun terselamat, pak cik rasa agak trauma selepas mengalami insiden kereta dihempap pokok memandangkan pak cik ada dalam kereta semasa kejadian itu,” katanya.

Katanya, dia kini merasa buntu memikirkan masa depannya kerana dia tidak bekerja dan bergantung kepada anak-anaknya untuk menyara hidup.

BACA: Cuaca Panas Tahap Berjaga-Jaga Di Kelantan, Sabah & Sarawak

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.43 petang.

Menurut beliau, PGO Kedah segera mengarahkan sepasukan anggota BBP Alor Setar bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap dua kereta dan dua mangsa terperangkap di dalam kereta tetapi telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya telah memaklumkan pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membantu dalam kerja-kerja memotong pokok tersebut.

“Keadaan pokok yang tumbang tidak menghalang lalu lintas dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.04 petang,” katanya.

BACA JUGA: MAIK Tubuh Sekolah Tahfiz Dalam Penjara Pertama Di Kelantan

Sumber: Sinar Harian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.