Cuaca Panas Tahap Berjaga-Jaga Di Kelantan, Sabah & Sarawak
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) telah mengeluarkan amaran mengenai keadaan cuaca panas yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut jabatan tersebut, terdapat lima kawasan di Kelantan yang kini mencatatkan cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga), iaitu Jeli, Pasir Mas, Kuala Krai, Gua Musang, dan Pasir Puteh.
Selain Kelantan, daerah Kinabatangan di Sabah dan Mukah di Sarawak juga mencatatkan suhu panas pada Tahap 1.
Tahap berjaga-jaga adalah suhu maksimum harian yang mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
“Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, boleh rujuk kepada laman web www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Dalam pada itu, Met Malaysia juga memaklumkan bahawa Monsun Barat Daya akan bermula pada 17 Mei dan dijangka berterusan sehingga September.
Sepanjang tempoh tersebut, taburan hujan dijangka rendah di kebanyakan tempat, yang boleh menyebabkan fenomena jerebu jika pembakaran terbuka tidak dikawal.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan pembakaran terbuka dan menggunakan air secara berhemah.
BACA: Kurang Sebulan Ditayangkan, Filem Sheriff Cecah Kutipan RM60 Juta
Sumber: Sinar Harian, Met Malaysia