289 Bakal Jemaah Haji B40 Di Wilayah Persekutuan Terima Insentif RM500
Seramai 289 bakal jemaah haji dari keluarga B40 di Wilayah Persekutuan akan menerima insentif sebanyak RM500 dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk musim haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata pemberian tersebut adalah tanda keprihatinan jabatan itu kepada kebajikan masyarakat B40 serta mereka yang memerlukan.
“Ini adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk meringankan beban masyarakat serta diharapkan dapat membantu para jemaah haji yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu seramai 5,790 dari 31,600 jemaah haji yang mendapat tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu telah tiba di Tanah Suci Mekah dan Madinah semalam.
BACA: Jemaah Haji Indonesia Minta Turun Dari Pesawat, Terlupa Bagi Ayam Makan Punya Pasal
Menurut Bernama, mereka menaiki 22 penerbangan yang disewa khas Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, 4,403 jemaah haji kini berada di Madinah manakala seramai 1,387 jemaah haji telah sampai di Makkah bermula 14 Mei 2024.
“Alhamdulillah operasi haji untuk musim ini yang bermula pada 9 Mei, terus berjalan dengan baik dan lancar, sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci.
“Jemaah haji KT1 hingga KT5 yang kini berada di Makkah, juga telahpun selesai melaksanakan ibadah umrah dan TH telah merangka pelbagai aktiviti dan sesi bimbingan semasa mereka menanti hari untuk berwukuf di Arafah (15 Jun) nanti,” katanya dalam sidang media bersama petugas media di Ibu Pejabat TH di sini semalam.
Sumber: Dato’ Setia Dr Naim