Siakap Keli
faisal nak main bola faisal belum pulih
Kredit: Bernama

Faisal Nyatakan Hasrat Nak Main Bola Semula – Shahril

Faisal Nyatakan Hasrat Nak Main Bola Semula – Shahril

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan Faisal Halim tidak sabar untuk bermain bola semula. Malah pemain itu juga menyatakan keinginan untuk membantu pasukan menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) pada aksi Liga Super malam ini.

Memetik Sinar Harian, pemain itu menunjukkan semangat yang luar biasa meskipun belum pulih akibat kecederaan simbahan asid.

“Hampir setiap kali pertemuan Faisal akan menyatakan keinginan mahu kembali ke padang menjalani latihan atau menyepak bola.

“Dia mengetahui malam ini (Sabtu) Selangor akan berentap dengan KDA FC. Itu pun dia nyatakan hasrat mahu beraksi bersama pasukan,” katanya.

Pun begitu, Shahril terpaksa menenangkan Faisal supaya fokus kepada pemulihan terlebih dahulu sebelum berfikir untuk bermain bola semula.

“Saya terpaksa menenangkannya dan memberitahu bahawa dia perlu kembali sihat jika mahu bermain bola seperti biasa,” jelasnya.

BACA: Dua Lelaki Ditahan Cuba Ceroboh Istana Negara 

Dalam pada itu, Faisal dijadualkan menjalani pembedahan keempat iaitu split skin graft (SSG) pada minggu depan.

Terdahulu, pemain kebangsaan itu telah disimbah asid oleh dua individu yang tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Susulan kejadian itu, dia telah mengalami kelecuran tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan.

Keadaannya dilaporkan semakin stabil selain sudah dipindahkan ke wad biasa daripada unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, Skuad Gergasi Merah akan turun buat kali pertama musim ini menentang KDA FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada malam ini.

Menurut Bernama, Kedah meraih tiga mata selepas menewaskan PDRM FC 1-0 pada perlawanan pembukaan, manakala Selangor terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Sumbangsih menentang JDT susulan insiden serangan terhadap Faisal Halim.

BACA JUGA: Dua Anggota Polis Maut Dalam Insiden Serangan Di Balai Polis Ulu Tiram, Johor

Sumber: Sinar Harian

Sofea

There's always another side to every story