Klopp Tamatkan Era di Liverpool, Anfield Diselubungi Penuh Emosi
Semalam adalah perlawanan terakhir Liverpool diuruskan oleh pengendali dari Jerman, Jurgen Klopp. Perlawanan yang berakhir awal pagi semalam menyaksikan stadium Anfield diselubungi rasa sebak dalam gembira apabila Klopp akhirnya mengakhiri eranya di Liverpool.
Liverpool juga menghadiahkan kemenangan terakhir buat Klopp selepas membenam Wolves 2-0 dalam aksi terakhir liga di Anfield.
Jurgen Klopp menyertai Liverpool pada tahun 2015 menggantikan pengurus sebelum itu, Brendan Rodgers.
Klopp telah membawa perubahan yang total sejak berada di kelab yang penuh bersejarah itu. Paling diingati, Klopp telah menamatkan penantian 30 tahun penyokong Liverpool untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.
Selain itu, Klopp juga berjaya membawa Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat pertama kali sejak 2005.
Banyak lagi kejuaraan yang dibawa Klopp ke Anfield antaranya Piala Fa, Piala Liga, Piala Dunia Kelab, Perisai Komuniti dan UEFA Super Cup.
Klopp terus diingati sebagai pegurus paling berjaya di Liverpool sebaris dengan Bob Paisley dan Bill Shankly yang terlebih dahulu membawa kejayaan buat kelab Merseyside itu.
Sepanjang di Liverpool, Klopp telah menguruskan 410 perlawanan dan mencatatkan 249 menang, 92 seri dan 69 kali tewas.
Ringkasnya, ketibaan Jurgen Klopp di Liverpool telah mengembalikan status Liverpool sebagai salah satu pasukan gergasi di England.
Klopp tiada perancangan untuk menguruskan mana-mana pasukan buat masa ini dan mengambil keputusan untuk berehat seketika.
Klopp juga telah mencipta akaun Instagramnya hanya kerana ingin terus berkomunikasi dengan penyokong Liverpool.
Sumber: Optus Sport