Jurgen Klopp Umum Tinggalkan Liverpool Hujung Musim Ini
Jurgen Klopp, tidak lagi akan mengendalikan kelab gergasi EPL, Liverpool selepas tamat musim ini.
Berita mengejutkan itu dimaklumkan oleh beliau sendiri menerusi satu video yang dikongsikan di laman Facebook rasmi kelab tersebut.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya akan meninggalkan Liverpool selepas musim ini tamat.
“Keputusan ini sudah tentu mengejutkan banyak pihak, lebih-lebih lagi kepada anda yang baru pertama kali mendengar.
“Saya sukakan segala-galanya tentang kelab dan bandar ini. Saya juga sukakan semuanya yang berkaitan dengan penyokong Liverpool.
“Sejujurnya, saya jatuh cinta dengan Liverpool, kakitangan dan semuanya,” kata Klopp di awal pengumuman tersebut.
BACA: Arab Saudi Buka Ruang Solat Gantung Tertinggi Di Dunia
Mengulas tentang keputusan tersebut, Klopp mengakui beliau sudah kehabisan tenaga untuk terus membimbing kelab berkenaan.
“Macam mana saya nak beritahu, tetapi sebenarnya saya sudah kehabisan tenaga. Saya tahu saya tidak mampu untuk terus menggalas tugas tersebut (menjadi jurulatih Liverpool), lagi dan lagi,” katanya.
Klopp ambil keputusan berat, tinggalkan Liverpool hujung musim ini
Klopp kemudian menegaskan bahawa keputusan yang diambil bukan disebabkan beliau ada berdepan dengan apa-apa masalah kesihatan.
“Saya ok dan sangat sihat, sesuai dengan umur saya. Adalah sikit-sikit, tetapi tiada apa-apa yang serius yang perlu dirisaukan.
“Malah, keputusan ini sudah pun saya maklumkan kepada kelab pada November tahun lepas,” kata Klopp.
Ditanya mengapa pengumuman ini dibuat sekarang, ketika Liverpool sedang berada di prestasi terbaik, Klopp ada jawapan tersendiri.
“Dalam dunia yang ideal, saya mungkin akan menunggu hingga musim tamat, menang sebanyak mungkin trofi dan mengucapkan selamat tinggal. Namun hakikatnya, ia mustahil.
“Realiti dunia hari ini, sebenarnya sangat sukar untuk menyimpan rahsia sebesar ini. Saya juga terkejut kerana rahsia ini berjaya dipelihara sangat lama.
“Namun, staf-staf kejurulatihan yang lain juga perlu tahu keputusan ini, lebih-lebih lagi kelab perlu merangka pelan bermula dari sekarang.
“Mungkin ada beberapa perkara boleh dilakukan tanpa pengetahuan awam, namun untuk hal-hal penting, kelab mungkin tidak dapat menyembunyikannya.
“Jadi kelab perlukan masa untuk perkara tersebut,” kata Klopp lagi.
Beliau juga mengakui berat untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada semua kelab yang pernah dikendalikannya.
“Ini adalah kali ketiga saya perlu mengambil keputusan yang sama dan saya tidak sukakannya.
“Namun akhirnya, saya tetap perlu melakukan perkara tersebut kerana saya yakin, jika anda perlu mengambil keputusan berat seperti ini, lebih baik ia dibuat lebih awal daripada terlambat.
“Terlambat buat keputusan sebesar ini adalah perkara terburuk yang boleh berlaku,” ujar Klopp.
Di akhir temu ramah, Klopp berharap keputusannya diterima baik oleh semua pihak, terutamanya peminat Liverpool.
Beliau juga mahukan para peminat terus memberi sokongan kepada kelab tersebut yang kini masih bersaing dalam semua pertandingan yang disertai.
A message to Liverpool supporters from Jürgen Klopp. pic.twitter.com/l7rtmxgOzt
— Liverpool FC (@LFC) January 26, 2024
Sumber: Liverpool FC, Liverpool FC (2)