Siakap Keli
ruang solat gantung tertinggi
Kredit: Arab News

Arab Saudi Buka Ruang Solat Gantung Tertinggi Di Dunia

Arab Saudi Buka Ruang Solat Gantung Tertinggi Di Dunia

Destinasi perhotelan mewah di Mekah, Jabal Omar Makkah telah mengumumkan pembukaan ruang solat tertinggi menghadap Kaabah, lapor Arab News.

Pembukaan Sky Mussallah itu sekali gus menjadikan ia surau gantung tertinggi di dunia yang secara rasmi diiktiraf oleh Guinness World Records.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pembangunan Jabal Omar berkata pihaknya berbangga Sky Mussallah berjaya memasuki rekod dunia terkemuka itu.

“Langkah yang luar biasa ini adalah simbol komitmen teguh kami untuk menawarkan pengalaman yang tiada tandingan untuk jemaah haji dan pengembara.

“Dengan lokasi utamanya yang berpusat di menara berkembar hotel, Sky Mussallah benar-benar mempesonakan dan mesti dikunjungi oleh semua orang yang melalui bandar ini,” ujarnya.

Mussallah cukup luas untuk memuatkan kira-kira 520 orang kerana ia berkeluasan 550 meter persegi menjadikannya sempurna untuk solat tidak kira waktu hari itu.

BACA: Arab Saudi Terus Salur Bantuan Kemanusian Kepada Rakyat Palestin

Difahamkan, Mussallah terletak pada ketinggian 483 meter dan turut menyajikan pemandangan eksklusif yang tiada tandingannya iaitu Kaabah serta mercu yang lain di Makkah.

“Direka bentuk dengan cemerlang dalam setiap metrik, Mussallah baharu adalah penjelmaan sempurna kecemerlangan seni bina hotel yang tiada tandingannya.

“Mussallah dijadikan sebagai tempat yang sesuai untuk tetamu menyelami kerohanian yang lengkap sambil melihat mercu tanda yang tersergam indah di Makkah.

“Ia telah direka khas untuk menawarkan hubungan yang tulus dengan persekitarannya yang suci, memberikan pemandangan Masjid Al-Haram dengan pemandangan penuh Kaabah di mana seluruh bandar menjadi hidup setiap tahun semasa musim Haji dan Umrah,” kata kenyataan yang dimuat naik.

Pada permulaan, jambatan keluli itu mula-mula dipasang pada ketinggian 312 meter sebelum diangkat ke aras akhir di mana ia menghubungkan menara berkembar hotel di tingkat 36, 37 dan 38.

Bahagian dalaman Musallah memaparkan pesona elemen Arab purba dan kemewahan kontemporari.

Kaligrafi Arab yang menakjubkan juga telah menambahkan keanggunan pada suasana kerana setiap goresan kaligrafi menceritakan kisah tentang nama-nama Allah yang berbeza.

Ruangan solat yang dipenuhi dengan nama-nama Allah itu telah menyemai rasa hormat dalam kalangan umat Islam.

Sumber: Arab News, Arab Times

Nurhanis

noktah