ISTANBUL, 23 Okt (Bernama-Anadolu) -- Gabungan diketuai Arab Saudi memaklumkan pada Khamis bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan 11 dron serta sebutir peluru berpandu balistik, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap gabungan itu, Turki al-Maliki dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X berkata dron berkenaan dipintas di ruang udara Riyadh, Madinah, Wilayah Timur dan wilayah selatan Arab Saudi, manakala peluru berpandu balistik itu dipintas ketika menuju ke Najran di barat daya negara berkenaan.
Dalam kenyataan terbaharunya pada Khamis, gabungan itu memaklumkan bahawa dua dron yang dilancarkan ke arah wilayah selatan telah dipintas dan dimusnahkan.
Terdahulu, gabungan berkenaan melaporkan pemintasan empat dron di ruang udara Riyadh dan Madinah, satu di Riyadh serta empat lagi di Wilayah Timur.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan lokasi dron berkenaan dilancarkan atau sama ada operasi pemintasan menyebabkan sebarang kerosakan atau kecederaan.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan empat orang terbunuh dalam serangan di Wilayah Timur negara berkenaan.
Dua mangsa maut akibat dihempap serpihan yang jatuh selepas sistem pertahanan udara menggagalkan cubaan serangan dron terhadap kemudahan minyak Aramco, manakala dua lagi terbunuh dalam serangan yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam.
Gabungan itu turut melaporkan pemintasan tujuh dron pada Rabu, termasuk satu yang menuju ke wilayah selatan dan enam lagi di ruang udara Madinah serta Wilayah Timur.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman terus meningkat sejak Julai, seiring dengan pertempuran yang kembali tercetus antara kumpulan berkenaan dengan kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Arab Saudi menerajui gabungan tentera yang menyokong kerajaan Yaman dalam memerangi Houthi sejak Mac 2015. Kumpulan Houthi menguasai ibu negara Yaman, Sanaa, serta beberapa kawasan lain di negara itu sejak September 2014.

