Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Tujuh Individu Masih Direman
Tujuh individu masih direman dan sedang disiasat berhubung insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang menyebabkan dua anggota polis terkorban.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar menyatakan siasatan masih giat dijalankan dan sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan.
“Kita akan segera maklumkan sebarang perkembangan baharu. Namun kita harap masyarakat beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Pada Sabtu lalu, tujuh individu telah direman selama tujuh hari untuk membantu dalam siasatan kejadian di balai polis tersebut.
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Individu yang ditahan termasuk lima anggota keluarga suspek berusia dalam lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang ditahan sejak Jumaat lalu, susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek awal selepas kejadian berlaku.
Selain itu, turut direman dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.
Dalam serangan pada 2.54 pagi sebelum ini, tiga orang telah disahkan meninggal dunia, termasuk dua anggota polis berusia 22 dan 24 tahun, serta suspek berusia 21 tahun.
Seorang lagi anggota pasukan keselamatan juga mengalami kecederaan.
Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, adalah antara yang terkorban dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dilaporkan kini stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
BACA: Kecoh Himpunan 250 Ekor ‘Oyen’
Sumber: Sinar Harian