Siakap Keli
pemuda hilang ketika mendaki pemuda ditemukan selamat
Kredit Gambar: Bernama

Pemuda Hilang Ketika Mendaki Sabtu Lepas Ditemukan Selamat

Pemuda Hilang Ketika Mendaki Sabtu Lepas Ditemukan Selamat

BATU KAWAN, 22 Mei (Bernama) — Seorang pemuda yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas ketika mendaki di Bukit Hill Top Batu Kawan di sini, ditemukan selamat pukul 2 petang tadi.

Muhammad Azfar Ismail, 29, dijumpai oleh nelayan tempatan di kawasan paya bakau dekat jeti nelayan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Chong Boo Khim berkata ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan keletihan dengan sedikit kesan calar di tangan dan telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk menerima rawatan.

“Laporan kehilangan mangsa telah dibuat abangnya pada 19 Mei lepas yang memaklumkan adiknya telah mendaki di bukit Batu Kawan pada 5 petang, 18 Mei.

“Mangsa dikatakan sudah biasa mendaki bukit di situ, jadi bila dia tidak balik ke rumah, abangnya telah membuat laporan pada keesokannya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan pada 2 pagi hari sama oleh pasukan polis, namun gagal menjumpai sebarang kesan dan bukti di lokasi kejadian.

Chong berkata operasi kemudian diteruskan dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung selain turut menggerakkan unit K9 bomba untuk mencari mangsa.

Beliau berkata punca mangsa hilang belum diketahui dan akan mengambil keterangan mangsa sebaik keadaannya stabil nanti.

Terdahulu, penduduk kampung turut melakukan solat hajat bagi memohon dipermudah usaha mengesan lelaki itu.

Bukit Hill Top Batu Kawan sering menjadi tumpuan pendaki untuk berjoging di situ pada sebelah petang terutama hujung minggu.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story