Siakap Keli
lelaki bakar majikan

Lelaki Ditangkap, Didakwa Bakar Bekas Majikan Gara-gara Sakit Hati Kena Pecat

Lelaki Ditangkap, Didakwa Bakar Majikan Gara-gara Sakit Hati Kena Pecat

Seorang lelaki ditahan pihak polis selepas didakwa bertindak membakar seorang wanita, yang merupakan bekas majikannya dalam kejadian yang berlaku di Medan, Indonesia.

Menurut portal Kompas.com, suspek bertindak melakukan jenayah tersebut kerana tidak berpuas hati selepas dipecat oleh mangsa, seorang pengusaha restoran.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Medan Tembung, AKP Japri Binsar Simamora berkata, suspek merupakan bekas pekerja di restoran milik wanita itu.

“Suspek berjaya ditahan di tempat persembunyian di kawasan Daerah Sunggal dan kini berada di dalam siasatan,” ujar Japri seperti yang dilaporkan dalam Kompas.com.

Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kelecuran sehingga 52 peratus dari bahagian muka sehingga bahagian lutut. Ketika ini, mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Haji Medan.

Tak puas hati kena pecat, lelaki didakwa bakar bekas majikan

Dalam pada itu, seorang saksi yang merupakan anak kepada mangsa memberitahu suspek datang berjumpa ibunya di rumah dengan menaiki motosikal untuk meminta penjelasan mengapa dia dipecat.

Selepas mendengar jawapan mangsa, suspek secara tiba-tiba mengambil minyak petrol yang dibawa lalu menyiram mangsa bermula dari bahagian kepala.

Mangsa yang panik kemudian menyoal tindakan yang dilakukan oleh suspek itu. Bagaimanapun suspek segera menyalakan mancis dan membakar mangsa. Suspek selepas itu bertindak melarikan diri daripada tempat kejadian.

Kejadian yang menimpa wanita itu disedari oleh pekerja lain yang kemudian berusaha memadamkan api pada badan mangsa.

Suspek dan mangsa saling mengenali sejak 2021, pelanggan tetap restoran

Menurut Kompas.com, mangsa dan suspek saling mengenali antara satu sama lain sejak 2021 lagi.

Suspek dikatakan merupakan salah seorang pelanggan tetap di restoran berkenaan ketika dia bekerja sebagai buruh di lokasi berdekatan.

Oleh kerana suspek kerap berhutang ketika menjamu selera di sana, mangsa kemudian mengambil suspek untuk bekerja di restoran tersebut.

BACA: Kereta Dipandu Terkena Tayar Lori Tercabut, Lelaki Cedera Parah

BACA: Pemuda Hilang Ketika Mendaki Sabtu Lepas Ditemukan Selamat

BACA: Viral Detik-detik Letupan Akibat Kebocoran Tong Gas, Penunggang Nyaris Jadi Mangsa

Sumber: Kompas.com

Athirah

When nothing goes right, go left.