Siakap Keli
pentas runtuh ketika kempen sembilan maut
Kredit: Julio Cesar Aguilar/AFP

Pentas Runtuh Ketika Kempen Pilihan Raya, Sembilan Maut Termasuk Kanak-Kanak

Pentas Runtuh Ketika Kempen Pilihan Raya, Sembilan Maut Termasuk Kanak-Kanak

Sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam kejadian pentas runtuh di perhimpunan kempen pilihan raya di bandar San Pedro Garza Garcia, utara Mexico, lapor AFP.

Menurut Gabenor Nuevo Leon, Samuel Garcia, kejadian pada malam Rabu itu juga menyaksikan sekurang-kurangnya 50 yang lain cedera dan tiga orang sedang menjalani pembedahan.

“Saya dengan rasa kesal ingin memaklumkan bahawa setakat ini jumlah yang terbunuh dalam kejadian itu ialah lapan orang dewasa dan seorang kanak-kanak,” katanya dalam satu kiriman di X.

Tambahnya lagi ketika bercakap kepada akhbar di tempat kejadian, kemalangan itu disifatkan sebagai satu tragedi.

Kredit: Julio Cesar Aguilar/AFP

Dalam pada itu tular video yang memaparkan keadaan huru-hara selepas pentas itu runtuh. Orang ramai dilihat menjerit dan cuba melompat dari struktur pentas runtuh itu, manakala lampu dan skrin gergasi juga tumbang ke kawasan di mana calon presiden, Jorge Alvarez Maynez dan anggota parti Pergerakan Rakyat sedang berdiri.

Bagaimanapun, Maynez tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius. Menurutnya, pentas terbabit runtuh selepas tiupan angin yang kuat.

BACA JUGA: Polis Siasat Pihak Sebar CCTV Faisal Halim Disimbah Asid

“Saya baik-baik saja dan sedang berhubung dengan pihak berkuasa,” katanya di laman X.

Sementara itu, Ahli Pergerakan Rakyat, Javier Gonzalez-Alcantara memberitahu media tempatan bahawa responden pertama terpaksa menarik mangsa yang terperangkap di pentas yang runtuh itu.

“Semua orang yang berada di bawah pentas berjaya diselamatkan dan yang cedera dibawa ke hospital,” katanya.

Terdahulu, perkhidmatan meteorologi Mexico telah memberi amaran mengenai hujan lebat, tiupan angin sehingga 70 kilometer (43 batu) sejam dan kemungkinan puting beliung di Nuevo Leon serta negeri-negeri utara lain pada malam Rabu.

Kredit: Julio Cesar Aguilar/AFP

Malah, Gabenor Garcia menggesa orang ramai untuk tidak keluar dari rumah kerana ramalan ribut tersebut.

Untuk pengetahuan, acara yang dilangsungkan itu merupakan perhimpunan penutup kempen untuk calon Pergerakan Rakyat bagi jawatan Datuk Bandar San Pedro Garza Garcia, Lorenia Canavati.

Dalam acara itu, calon parti sentris di peringkat senat dan tempatan turut mengambil bahagian.

Pada 2 Jun, rakyat Mexico akan mengundi untuk presiden baharu serta ahli Kongres, beberapa gabenor negeri dan pegawai tempatan.

Sumber: AFP

Sofea

There's always another side to every story