Siakap Keli
raja makan bersara
Gambar: IG Kobayashi

‘Raja Makan’ Umum ‘Bersara’ Kerana Tak Lagi Rasa Lapar

Digelar ‘Raja Makan’, Lelaki Umum ‘Bersara’ Kerana Tak Lagi Rasa Lapar

Seorang lelaki yang digelar sebagai ‘Raja Makan Kompetitif’ mengumumkan persaraannya selepas dia kini tidak lagi mampu merasa lapar.

Takeru Kobayashi, 46, yang merupakan seorang peserta acara makan kompetitif pernah memenangi enam kejuaraan berturut-turut dalam pertandingan Makan Hotdog Nathan peringkat antarabangsa.

Menurut SCMP, pertandingan yang dianjurkan di bandar New York, Amerika Syarikat itu cukup terkenal dan berjaya mengangkat nama Kobayashi.

Malah, Kobayashi pernah menelan sebanyak 64.5 batang hotdog dalam satu sesi di pertandingan tersebut.

Kobayashi mula memahat namanya dalam arena tersebut selepas menyertai sebuah acara makan kompetitif di Jepun pada usia 23 tahun.

Ketika itu, dia berjaya makan sebanyak 60 piring sushi, 2.7 kilogram kentang dan 16 mangkuk ramen dalam satu sesi.

Dalam pertandingan serupa di Taiwan pula, Kobayashi mengejut ramai pihak apabila berjaya menghabiskan 5.5kg stew kambing dalam 24 minit.

Raja Makan umum bersara, badan tak lagi rasa lapar

Di Hong Kong, Kobayashi juga pernah muncul sebagai juara apabila menghabiskan 100 char siu baos dalam masa 12 minit sahaja.

Sepanjang terlibat dalam acara makan kompetitif, Kobayashi menikmati pendapatan tahunan melebihi 100 juta Yen (kira-kira RM 3 juta). Jumlah berkenaan lebih daripada mencukupi untuk dia menyara keluarganya.

Populariti dinikmati Kobayashi turut menyaksikan dia berjaya membuat kemunculan dalam satu dokumentari, Hack Your Health: The Secrets of Your Gut yang disiarkan di Netflix.

Dokumentari berkenaan meneroka topik berkenaan sistem pencernaan manusia serta menganalisis hubungan antara usus, diet dan kesihatan manusia.

Ketika itulah, Kobayashi mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan persaraan melalui dokumentari tersebut.

Menurut Kobayashi, dia kini tidak lagi mampu merasa lapar. Malah isterinya mendedahkan Kobayashi pernah tidak menjamah apa-apa makanan untuk tiga hari berturut-turut.

“Apabila kamu makan terlalu banyak, kamu hilang keupayaan untuk menghidu bau makanan dan kamu juga mengabaikan isyarat, seperti rasa kenyang, yang dihantar badan” katanya.

Biarpun pemeriksaan dibuat mendapatai Kobayashi tidak berdepan dengan apa-apa masalah kesihatan, namun doktor mungkin menemui jawapan mengapa Kobayashi hilang rasa lapar.

Doktor mungkin temui jawapan kepada masalah dihadapinya

Apabila Kobayashi melihat makanan, semua bahagian otaknya yang dikaitkan dengan aktiviti makan, makanan, loya dan kenyang diaktifkan.

“Otak anda berfikir anda sedang berada dalam pertandingan, dalam keadaan menikmati makanan yang diproses.

“Jadi, semuanya perlu bekerjasama untuk menekan sistem anda supaya anda tidak merasa jijik ketika melihat banyak manakan.

“Di sini, anda boleh melihat seberapa jauh badan pergi untuk mencapat apa yang anda mahukan, biarpun itu boleh membahayakan diri sendiri,” kata Neuropsychologist, Annie Gupta kepada Kobayashi.

Perkara itu menyebabkan Kobayashi merasa bimbang dengan kesihatan diri. Dia kini mula beralih kepada makanan yang lebih sihat dan membaiki tabiat pemakanannya.

BACA: Rumah Pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee Kena Pecah

Sumber: South China Morning Post

Athirah

When nothing goes right, go left.