Siakap Keli
icj israel hentikan operasi ketenteraan di rafah
Kredit: NICK GAMMON/AFP

ICJ Arah Israel Hentikan Operasi Ketenteraan Di Rafah Dengan Kadar Segera

ICJ Arah Israel Hentikan Operasi Ketenteraan Di Rafah Dengan Kadar Segera

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengarahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Rafah dalam satu perbicaraan pada Jumaat.

Memetik AFP, ia merupakan satu keputusan penting yang berkemungkinan meningkatkan tekanan antarabangsa ke atas Israel.

“Israel perlu segera menghentikan serangan ketenteraannya dan sebarang tindakan lain di wilayah Rafah yang boleh membawa kemusnahan fizikal secara keseluruhan atau sebahagian kepada penduduk Palestin,” kata ICJ.

Pihaknya turut mengarahkan Israel untuk terus membuka persimpangan Rafah ke Gaza bagi penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa ada sebarang halangan.

Keputusan perbicaraan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada permohonan yang dilakukan oleh Afrika Selatan mengenai gencatan senjata Gaza di The Hague, Belanda.

BACA JUGA: ICC Mohon Waran Tangkap Netanyahu & Yahya Sinwar

Sementara itu, Israel telah berhujah di hadapan mahkamah bahawa perintah untuk menghentikan aktiviti ketenteraan akan memberi kebebasan kepada Hamas dan menghalang tenteranya untuk menyelamatkan tebusan yang didakwa ditangkap oleh kumpulan itu pada 7 Oktober.

Terdahulu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilapor memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan pemimpin tertinggi Hamas, Yahya Sinwar.

Ia susulan kedua-dua pihak disyaki melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

Di samping itu, Israel pada Khamis berkata pihaknya bersedia untuk menyambung semula rundingan yang terhenti mengenai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan dengan Hamas.

Ketua perisikan AS, Bill Burns dijangka akan bertemu wakil Israel di Paris untuk melancarkan semula rundingan, lapor AFP.

Sumber: AFP

Sofea

There's always another side to every story